Saturday, September 29, 2012

Pandanglah Menggunakan Mata Hati


Kehidupan ini penuh dengan ranjau? penuh dengan pancaroba.Penuh dengan ujian.
Tetapi itulah dinamakan warna-warni kehidupan.
Kehidupan kita juga diwarnakan dengan pelbagai ragam manusia, ada yang merasa megah dengan kekayaan, pangkat dan harta. Kita merasa angkuh dengan kurniaan ilahi. Kemana kita sebenarnya?
Pandanglah ke Langit
Pernahkah kalian memandang ke langit? anda tidak merasakah bahawa betapa kecil dan kerdilnya kita di alam ini? Kekadang kita rasa bongkak, angkuh, sombong dengan harta,pangkat dan kekayaan. Cuba kita renung. Adakah ia akan kekal?
Adakah apa yang kita ada ini sudah mencukupkan kita rasa hebat? Sedangkan harta pangkat dan kekayaan, pencapaian yang ada pasti tidak kemana. Betapa sedikitnya, dibandingkan dengan kekayaan dan agungnya kekuasaan ilahi yang ciptakan dunia ini.Indahnya melihat langit seakan ingin terbang ke udara. Langit yang membiru itu tidak pernah angkuh dengan kecantikan, kehebatannya. Langit selalu sahaja menurut perintah Allah apabila Dia inginkan langit itu suram tidak bercahaya, langit tunduk dengan perintah-Nya. Tetapi manusia? apabila diuji dengan harta, kekayaan, pangkat, kecantikan dan perkara itu yang membuatkan manusia lupa bahawa dia lemah, semuanya kekayaan tidak akan kekal. Semuanya milik Allah! kita pasti akan MATI. Pernahkah kita insaf? pernahkah kita merasa takjub dengan keagungan ciptaan Tuhan jika dibandingkan apa yang ada pada diri kita ini?
Renung Kembali
Pada satu ketika, kita rasa dengki dengan kekayaan yang ada pada orang lain. Kita rasa dengki dengan pencapaian orang lain. Kita rasa kecewa, mengapa ya Allah , aku tidak sehebatnya. Mengapa aku tidak hebat sepertinya? sebenarnya kita silap. Tidakkah kita mendengar bahawa Allah swt berfirman:
"(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya)." Surah Muhammad Ayat 36
Kita tidak pernah bersyukur dengan kurniannya.Adakah kita masih angkuh sedangkan Allah sudah memberi kita secukupnya? Pandanglah kepada orang yang lebih kurang darimu. Bersyukurkah kita? dimana kita berada? landasan manakah? cuba kita lihat matahari , dia sentiasa mentaati perintah Allah.Di saat ia terbit dengan megah, tetapi apabila Allah perintahkan ia terbenam, ia akan terbenam tetapi dengan ketaatan.
Kembalilah , Bersyukurlah
 Aku ingin mengajak kalian dan diri sendiri agar sentiasa melihat orang yang lebih kurang daripada kita. Kita masih lagi boleh bernafas, tetapi ada di saat ini orang yang berusaha untuk bernafas menyedut udara kerana nazak di ambang sakaratul maut. Ada yang tiada kaki tetapi dia masih bersyukur kerana anggota lain masih ada dan sentiasa lakukan amal , sedangkan kita yang ada kaki jarang bersyukur. Sampai nak menjejak ke rumah Allah pun, kita masih kurang. Ada yang tiada mata, tetapi dia masih bersyukur dan terus bersyukur untuk mengingati Allah dengan sentiasa berzikir. Tetapi kita yang ada mata sanggup memandang perkara haram.  Kita ini selalu lupa siapa kita? Apa tujuan kita dihidupkan di dunia.
Manfaatkan hidup sepenuhnya
Manfaatkanlah dirimu untuk kehidupan Akhirat.Tugasmu adalah mentarbiyah manusia untuk kembali kepadanya! Tugasmu adalah untuk mengabdikan diri kepada pencipta. Kekayaan yang kita ada, pangkat yang kita ada jika kita manfaatkan untuk akhirat . ia pasti akan berharga. Janganlah ada perasaan iri hati dengan pencapaian orang lain. Bersyukurlah dengan apa yang ada.
Usahalah semampu yang boleh! Sesungguhnya Allah menilai kita berdasarkan kualiti bukan kuantiti. ada yang solat tahajjud tetapi  perasaan bongkak ada dalam dirinya. Tiada guna langsung walaupun dia bersolat sebanyak seratus rakaat. Tetapi jika seorang hamba Allah melaksanakan solat tahajjud ikhlas kerana Allah walaupun satu rakaat, tetapi betapa besarnya di sisi Allah. kembalilah kepada jalan Islam. Manfaatkanlah masa yang ada dengan amal.
Wallahualam

ubat dukacita

Dukacita, ialah penyakit yang timbul lantaran terlampau kuatnya keterikatan dengan dunia ini. Keterikatan itu pasti ada selama kita hidup iaitu keterikatan dengan anak, isteri dan sebagainya. Kerana kehilangan orang yang dikasihi atau orang yang disukai. Sebab dari timbulnya dukacita itu, kerana terlalu besar mementingkan keperluan jasmani, dan syahwat tidak terbatas sehingga timbul kepercayaan bahawa barang yang dicintai itu tidak boleh berpisah-pisah selama-lamanya dari badan. Padahal kalau manusia telah tenteram hatinya, sihat badannya, dan cukup pula yang akan di makan pagi dan petang, itulah orang yang sekaya-kayanya dan sesenang-senangnya. Kalau sudah begitu masih merasa dukacita juga, tndanya orang itu kurang akal dan kurang budi. Timbul penyakit dukacita ialah lantaran menyedari keberuntungan yang telah berlalu, atau takut menghadapi bahaya yang akan datang, atau kerana memikirkan bahawa yang ada sekarang ini masih belum cukup dan serba kurang.

1. Dukacita Memikirkan Yang Telah Lalu. 

Kalau manusia berdukacita memikirkan keberuntungan, kekayaan dan kemuliaan yang telah hilang, kedukaan itu tidak berfaedah sama sekali. Sebab segala kejadian yang telah lalu walaupun bagaimana meratapinya, tidaklah akan kembali. Sedangkan masa dua minit yang lalu, walaupun dikejar dengan mesin terbang, yang sekencang-kencangnya atau yang melebihi kecepatan suara, tidaklah dapat dikejar. Apa guna meratapi yang telah lalu, dia tak akan pulang, dan lantaran diratapi dia boleh merosakkan badan. Kedukaan yang begini timbulnya lantaran tidak berkeyakinan bahawa segala isi alam ini asalnya tidak ada, kemudian itu ada dan akhirnya akan lenyap. Kemuliaan, ketinggian, kemajuan kecintaan yang disayangi anak dan isteri, harta benda, semuanya akan datang kepada kita dan akan pergi dari kita. Kalau tidak kita yang pergi lebih dahulu, tentu mereka. Sebab kepergian itu berdahulu, berkemudian juga.

Mengubat dukacita ini tidak lain hanyalah dengan menjaga yang tinggal sekarang. Kerana semuanya ini, baik yang telah pergi dan hilang atau yang sedang ada, apalagi yang akan datang, semuanya itu nikmat. Jangan ampai lantaran meratapi nikmat yang hilang, kita lupa akan nikmat yang ada. Nanti yang ada itu setelah hilang diratapi pula.

Dalam pepatah ada tersebut:-

"Kalau ada jangan harap, kalau hilang janganlah cemas.
Di waktu nikmat membanjir, hendaklah syukuri, letakkan ditempatnya. Insaf bahawa barang ini hanyalah pinjaman. Jika nikmat yang sangat dicintai itu masa muda, gunakanlah masa muda itu dengan baik, dan yakini masa muda itu tak lama. Kalau dia pergunakan dengan baik, kelak kalau sampai tua, kita tidak menyesali kepergiannya lagi, melainkan tersenyum dan bangga bahawasanya semasa muda dahulunya, kita telah berbuat baik.

Kalau nikmat yang membanjir itu harta benda, kekayaan dan kemuliaan, peliharalah dan gunakan dengan baik. Jangan dilupakan bahawa dia akan pergi. Jangan hanya diingat semasa saya kaya daulunya. Ingat pula yang sebelum itu, iaitu: Semasa saya lahir dahulunya.

Seketika Maharaja Iskandar Zulkarnain akan menghembuskan nafasnya yang penghabisan, setelah menaklukkan negeri-negeri Persia dan India, setelah dirasakannya bahawa telah sampai waktunya kembali ke akhirat, maka Maharaja yang muda belia itu mengumpulkan orang-orang besarnya dan berkata:

"Bilamana aku mangkat, letakkan mayatku dalam peti, bawa ke negeri Persia dan Mesir dan ke segenap jajahan yang telah aku taklukkan. Dari dalam peti hendaklah hulurkan kedua belah tanganku yang kosong, supaya orang tahu bahawa Raja Iskandar yang maha kuasa, walau bagaimana kuasa sekalipun, dia kembali ke akhirat dengan tangan kosong juga. Jika ibu dan ahli rumahku hendak meratapi mayatku, janganlah dilarang mereka meratap, cuma suruh saja cari dua orang yang akan jadi temannya, iaitu orang yang tidak akan mati selama-lamanya, dan orang yang tidak pernah kematian. Kalau yang berdua itu telah ada, bolehlah mereka meratapi aku".

2. Dukacita Memikirkan Yang Sekarang.

Kalau orang berdukacita memikirkan yang sekarang barangkali orang ini berdukacita kerana orang lain dapat nikmat, dia tidak. Atau kerana melarat hidupnya, dan cita-citanya yang sentiasa tak berhasil. Barangkali dia kekurangan harta, kurang mulia. Barangkali juga dia tidak duduk sama rendah, tegak sama tinggi dengan orang lain.

Sebabnya orang ini berdukamita, ialah lantaran dia tak tahu rahsia kehidupan dan dunia. Dia tidak tahu dunia ini kandang ripuan. Ini hari disenyumkannya kita, esok ditangiskannya. Kalau hendak mengubati penyakit ini, janganlah diingat tatkala Napoleon jadi kaisar saja, tetapi hendaklah diingat pula semasa dia mati di tanah pembuangan di Pulau St. Helena. Kalau difikirkan sampai ke sana, timbullah syukur dalam hati, mujurlah saya dalam keadaan yang begini. Secinta-cinta orang kepada perempuan cantik, kalau difikirkannya akhir akibat perempuan itu, akan kuranglah cintanya. Sebab rahsia dunia ini ganjil sekali. Tiap-tiap kemuliaan mengandung racun, dan tiap-tiap kesengsaraan mengandung faedah. Manusia hidup di dunia diancam dengan tiga anak panah. Panah kejatuhan, panah penyakit, dan panah kematian.

Lihatlah garis perjalanan dunia, peredaran politik tiap hari, lihat dan baca. Jangan dilihat dan dibaca saja, perhatikan pula akibatnya. Cuba lihat negeri Austria di masa yang lalu menjadi pusar Kerajaan Austria Hongaria. Kemudian jadi satu bahagian kecil dari Jermania Raya. Kemudian jadi kota kecil yang miskin. Kekayaannya hanya semata-mata sejarah. Lihat pula negeri Jerman, menjadi kerajaan yang kalah, kemudian naik daun, kemudian kalah dan bangkit menjadi bangsa yang kuat. Demikian keadaan negeri, demikian pula raja-raja. Itulah hidup.

Kalau diperhatikan segala kejadian ini dengan saksama, tidaklah orang akan berhiba hati memikirkan kekurangan diri dan nasib, tidak pula akan tercengang melihat kenaikan dan kejatuhan orang lain, tidak harap lantaran dapat untung, dia tidak cemas lantaran beroleh rugi.

Janganlah menyangka, bahawa 'hidup' itu hanya bernafas, hanya makan dan minum. Carikan segala ikhtiar untuk memperbanyak pengalaman dan ilmu dari edaran alam. Berjalanlah ke pasar-pasar, ke muka-muka pejabat bank. Lihatlah bagaimana seorang kasir payah-payah menghitung-hitung wang berjuta-juta tiap hari, sedang gajinya hanya 600 rupiah (60 sen) seublan. Jangan pula lupa melihat anak kecil dan perempuan-perempuan tua yang duduk di muka bank itu. Duduk berlindung di cucuran atapnya, kerana tidak mempunyai rumah. Batasnya dengan tempat penyimpan wang berjuta-juta itu hanya sebatas dinding, tetapi bukan dia yang empunya. Cuba periksa apakah tuan yang menguasai bank itu bersukacita dan gembira lantaran wang banyak? Pernahkah tuan itu susah? Pernah! Dia menyusahkan wangnya yang banyak, dan perempuan dan anak kecil dan nenek tua yang duduk di muka bank itu menyusahkan wang pembeli nasi tak ada. Cuma yang disusahkan yang berlain, darjat susah sama.

Semasa agama Islam mulai dibangkitkan, Rasulullah saw melarang sahabat-sahabatnya ziarah ke kuburan, takut kepercayaan dan iktikad mereka akan rosak kembali, kerana mereka masih dekat dengan zaman jahiliah. Tetapi setelah tiba di Makkah, larangan itu baginda cabut buat kaum lelaki, mereka dibolehkan ziarah ke kubur. Lantaran ziarah ke kubur menimbulkan ingatan kepada kematian. Tidak berapa lama kemudian, perempuan-perempuan diberi pula ieizinan, untuk menjadi iktibar.

Ahli-ahli tasauf banyak ziarah ke dekat-dekat penjara, ke rumah sakit, ke tempat-tempat orang miskin yang melarat, bahkan mereka singkirkan mendekati istana-istana.

Apakah guna semua itu? Ialah untuk menimbulkan keinsafan bahawa kita tak boleh berdukacita atas kesusahan, dan tak boleh bergembira benar atas kemuliaan, kerana dunia ini penuh rahsia.

Dalam urusan kehidupan hendaklah mengadap kepada orang yang lebih atas jangan terbalik, supaya tidak hilang pedoman. Itulah maka kerapkali bila ditanya seorang yang salah: Apa sebab engkau berbuat kesalahan ini? Dia menjawab: Sedangkan tuan Anu berbuat demikian.

Jika ditanyai, mengapa engkau menghabiskan umur begini dalam hidupmu? Dia menjawab: Aku sangat ingin bermegah-megah semacam si Anu. 

Dukacita Memikirkan Yang Akan Datang.

Jika orang berdukacita memikirkan masa yang akan datang, tentu yang dia fikirkan satu dari dua macam kejadian, iaitu yang pasti datang dan yang barangkali datang.

Yang pasti datang adalah mati an tua, mustahil menolaknya. Hal itu tak usah diulang lagi.

Duka mengingat akan tua dan mati, adalah duka kerana jahil.

Kalau hal itu masih boleh ditolak, lebih baik jangan dihabiskan hari dalam berdukacita, tetapi lekas-lekaslah sediakan segala usaha penolak yang ditakuti itu. Kalau hanya berdukacita saja, tentu dia datang juga, tandanya kita tidak percaya adanya kudrat dan iradat Allah. Di sinilah perlunya persediaan 'tawakkal' serahkan keputusan itu kepada Allah swt.

Itulah maksud firman Tuhan:

Ertinya:
Tiadalah menimpa suatu musibah di dalam bumi ini, atau di dalam dirimu sendiri, melainkan semuanya itu telah tertulis di dalam Kitab, sebelum ia terjadi dahulunya. Semuanya itu bagi Allah mudah saja. Supaya janganlah kamu sekalian berdukacita mengingat barang yang telah hilang dan jangan pula bersukacita atas barang yang datang kepadamu, dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong dan membanggakan diri". (Al-Hadid: 22-23).
Orang sangat takut bahaya yang akan datang, kerana hatinya lekat kepada dunia dan sombong lantaran nikmat dunia. Dia tidak ingat kepada pepatah: 

Ertinya:

"Bukanlah malam itu sentiasa berbuat kebaikan kepaa manusia. Tetapi kebaikan itu kelak akan diikutinya dengan kesusahan".

Kekayaan.

Apakah hakikat kekayaan, dan apa hakikat kemiskinan?

Setelah payah Hukama mencari apakah erti kekayaan yang sebenarnya, mereka mendapat keputusan, iaitu:

"Orang kaya ialah orang yang sedikit keperluannya".

Jadi jangka turun naik kekayaan dan kemiskinan, ialah hajat dan keperluan. Siapa yang paling sedikit keperluannya, itulah orang yang paling kaya dan siapa yang amat banyak keperluan itulah orang yang miskin. Sebab itu yang maha kaya hanya Allah. Sebab Allah tidak berkehendak keperluan atau hajat.

Raja-raja adalah orang yang paling miskin, kerana keperluannya sangat banyak. Di dunia seorang raja diikat oleh bermacam-macam aturan dan keperluan dan di akhirat akan dibuka pula perkaranya yang besar-besar, sebagaimana yang diterangkan oleh Sayidina Abu Bakar yang telah kita salinkan dahulu daripada ini.

Jutawan ramai yang miskin!

Dasar segala yang tersebut itu, pergantungannya ialah diri sendiri. Kalau orang hendak kaya, cukupkanlah apa yang ada, jangan bernafsu hendak memiliki kepunyaan orang lain hadapkan saja muka di dalam taat kepada Allah, tenteramkan jiwa di dalam menghadapi alhayat. Kalau hendak miskin, ingatlah segala yang teringat, kenanglah segala yang belum ada, hendaki ini dan itu hendaki rumah yang lebih cintik, kerana yang sekarang walaupun bagaimana cantiknya, belum juga cukup rasanya, sebab belum secantik rumah si anu, padahal rumah kita sendiri, sudah titik air liur orang lain elihatnya. Kalau dengan harta yang ada dalam tangan, kita ingin kata, dalam sebentar waktu keinginan itu boleh tercapai, iaitu takaran hidup berdiri di atas kesederhanaan, sudah menafkahkan harta pada barang yang berfaedah apalagi di zaman kini yang membanyakkan belanja orang sehari-hari itu bukanlah keperluan yang penting. Yang membesarkan belanja kerapkali barang yang tak perlu, perhiasan yang berlebih-lebihan. Cuba tekankan perasaan jiwa yang berontak, ikat dengan taat kepada Ilahi dan belanjakan membela kebenaran, menegakkan keadilan, menolong fakir dan miskin.

Kekayaan hakiki ialah mencukupkan apa yang ada, sudi menerima walaupun berlipat ganda beratus-ribu bilion, sebab dia nikmat Tuhan. Dan tidak pula kecewa jika jumlahnya berkurang, sebab dia datang dari sana dan akan kembali ke sana. Jika kekayaan melimpah ialah untuk menyokong amal dan ibadat, iman dan untuk membina keteguhan hati menyembah Tuhan. Harta tidak dicintai kerana dia harta. Harta hanya dicintai sebab dia pemberian Tuhan. Dipergunakan kepada yang berfaedah.

Kekayaan majazi, menurut kebiasaan aturan hidup di zaman sekarang ini, ialah menumpahkan cinta kepada harta-benda semata-mata, yang menyebabkan buta dari pertimbangan, sehingga hilang cinta kepada yang lain, kepada bangsa dan tanahair, agama,Tuha, bahkan Tuhan itu tidak dipercayai lagi. Hilang cinta kepada segala yang patut dicintai, bahkan kadang-kadang diri sendiri sudah lupa mencintainya. Sebab telah tertumpah kepada harta. Orang kaya begini, dua bahaya mengancamnya, pertama penyakit bakhil, kedua penyakit boros dan royal (menghamburkan harta), sombong dan takbur, lupa bahawa manusia sentiasa diancam bahaya yang mengerikan.

Dia kaya raya, sebab itu perlu penjagaan, keperluannya kepada penjagaan menyebabkan dia miskin. Dia miskin. Dia kaya raya, perlu berubat kalau sakit. Keperluannya kepada ubat, satu dari tanda kemiskinannya. Dia takut mati, keperuannya menangkis kemiskinannya. Dia takut mati, keperluannya menangkis kematian, adalah tanda dari kemiskinan. Sebab itu, orang kaya yang majazi, ialah orang miskin yang hakiki. Sebaliknya orang miskin majazi adalah kaya yang hakiki.

Apakah perbezaan antara orang banyak harta dengan orang yang hanya berbaju yang lekat di tubuh itu saja?

Orang yang banyak harta dan orang yang tidur di kami lima, adakah berbeza perasaan sakit yang mereka tanggungkan? Adakah berbeza demam yang mereka idapkan? Tidak. Walaupun orang kaya tidur di tilam tebal dan berselimut mahal, dan orang miskin tidur beratapkan langit saja.

Jadi tidaklah tidur di kasur itu dapat mengurangi penyakit.

Kematian boleh datang menyerang seorang kaya yang sedang berada di atas singgahsana keemasan, dijaga oleh dayang-dayang yang ramai, beratus-ratus pengawal yang berdiri di muka pintu. Kematian pun boleh datang kepada seorang peminta-minta sehingga dia tersungkur di tepi jalan. Si kaya dikafani orang dengan kain sutera, si miskin dikafani dengan pakaian yang lekat di badannya. Si kaya dihantar ke kuburan oleh beribu-ribu orang. Si papa dihantarkan oleh kuli kotapraja yang memungut mayatnya. Keduanya sampai ke kuburan, diperhentian besar yang tidak membezakan darjat orang. Setelah sepuluh atau dua puluh hari di belakang, hancurlah kafan sutera sebagaimana hancurnya pakaian yang lekat di badan si papa tadi.

Kalau nyata bahawa harta tak dapat menangkis, menolak demam, tak dapat menghindarkan maut, nyatalah bahawa kesusahan yang menimpa orang kaya, serupa juga dengan yang menimpa orang miskin.

Memang mahal pakaian yang dipakai oleh lorang yang banyak harta tetapi sungguh pun mahal, yang dipakaiya tidak lebih daripada penutup tubuhnya, sebagaiana yang dipakai oleh si papa tadi. Berbagai ragam makanan yang lazat, dimakan orang yang banyak harta, tetapi bila perutnya telah kenyang, dia berhenti. Persis sebagaimana orang miskin yang hanya memakan nasi sebenggol ratak, bila perutnya telah kenyang, berhenti pula. Kadang-kadang kita lihat lebih banyak keringat sipapa keluar dan lebih 'sunguk sangak' dia menaikkan suapnya lantaran enak makannya, daripada yang banyak harta tadi.

Tidak sedikit ditemukan orang kaya yang terus menerus makan enak itu bosan kerana keenakan.

Kerapkali sejarah mengatakan bahawa orang masyhur,yang telah mendapatkan kedudukan mulia, orang popular dan mengagumkan atau ahli-ahli ilmu yang besar, ataupun pengarang-pengarang ternama, ahli syair, ahli seni, timbul dari kalangan orang-orang fakir dan melarat.

Muhammad saw mengubah dunia yang besar itu, ketika dua bulan dalam kandungan ibunya, ayahnya meninggal dunia. Ketika dia berumur enam tahun ibunya meninggal, umur lapan tahun nenek yang mengasuhnya meninggal pula. Pusaka ayahnya hanya lima ekor unta saja. Demikian juga daripada nabi-nabi yang sebelumnya.

Orang-orang besar yang datang kemudian, pun demikian pula.

Abdur Rahman Dakhil (Fatih) yang mendirikan Kerajaan Bani Umaiyah di Sepanyaol, hanya seorang pelarian politik. Salahuddin al Ayyubi pembela Palestin, hanya seorang anak seldadu. Ibnu Saad haya seorang anak raja yang terbuang ke rumah Syeikh Mubarak As Sabah di Kuwait, Reza Shah Pahlavi, Raja Persia dalamusia 30 tahun barulah pandai menulis dan membaca.

Imam Shafie yang terkenal adalah seorang anak yatim yang kuat hati hendak menuntut ilmu. Imam Malik, barulah di hari tuanya mengecap keenakan harta benda, setelah mendapat hadiah banyak dari raja-raja Bani Abbas.

Abul Ula Alma'ry, seorang miskin di negeri Ma'arrah, yang buta sejak dari kecil yang terkenal dengan gelar Abdul Ula (ayah ketinggian) sebab falsafah dan syairnya yang indah. Kurang senang dengan gelaran Abul Ula, dan lebih suka diberi gelar "Rahinul Mahbasain" (seorang yang terkurung dalam dua penjara), penjara kebutaannya dan penjara kemelaratannya.

Orang-orang besar yang demikian sedikit sekali tumbuh dari kalangan orang kaya-raya. Meskipun ahli falsafah mengakui juga bahawa orang-orang yang banyak harta sanggup menambah ilmu pengetauan sampai tinggi. Orang mengakui hal itu, tetapi orang-orang begini hanya dapat mengumpulkan yang telah ditumbuhkan orang lain. Adapun mencipta suatu penemuan yang baru, umumnya tidaklah sanggup.

Sesungguhnya hati yang tenteram dan fikiran yang tenang, memberi bekas yang nyata pada kebahagiaan manusia, bahkan itulah bahagia yang sejati. Orang yang banyak harta, kerapkali menghalangi bahaya, meskipun mereka sedikit sekali mengadukan kesusahan harta kepada orang lain, yang diperolehi oleh orang ramai banyak harta biasa hanya tiga perkara, makanan dan minuman yang enak, rumah yang bagus dan ke mana-mana hendak pergi tidak terhalang. Cubalah masukkan jumlah yang keempat, tentu tak boleh lagi, kerana yang lain itu bukan bahagiannya.

Oleh kerana makan yang tidak bermacam-macam itu boleh juga mengenyangkan perut. Oleh kerana pakaian sepersalinan boleh juga penutup tubuh, dan menangkis udara dingin dan panas, oleh kerana di pondok yang buruk dapat tidur enak, yang tak kurang enaknya dengan tidur di gedung indah. Oleh kerana semuanya itu, nyatalah bahawa bukan pasal makanan, pakaian dan kediaman itu yang jadi asas keberuntungan dan hina, bahagia dan bahaya, ketenteraman dan kesusahan.

Bukan harta sedikit yang menyebabkan susah, bukan harta yang banyak yang menyebabkan gembira. Asas gembira dan susah payah adalah jiwa yang gelisah atau jiwa yang tenang dan damai.

Pengertian Qanaah


Qanaah ialah menerima dengan cukup.

Qanaah itu mengandung lima perkara:
  1. Menerima dengan rela akan apa yang ada.
  2. Memohonkan kepada Tuhan tambahan yang pantas, dan berusaha.
  3. Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan.
  4. Bertawakal kepada Tuhan.
  5. Tidak tertarik oleh tipu daya dunia.

Itulah yang dinamai Qanaah, dan itulah kekayaan yang sebenarnya.

Rasulullah saw bersabda:

"Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak harta,, kekayaan ialah kekayaan jiwa".

Ertinya: Diri yang kenyang dengan apa yang ada, tidak terlalu haloba dan cemburu, bukan orang yang meminta lebih terus terusan. Kerana kalau masih meminta tambah, tandanya masih miskin.

Rasulullah saw bersabda juga:

Ertinya:

"Qanaah itu adalah harta yang tak akan hilang dan pura (simpanan) yang tidak akan lenyap". (HR. Thabarai dari Jabir).

Orang yang mempunyai sifat qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain.

Barangsiapa yang telah beroleh rezeki, dan telah dapat yang akan dimakan sesuap pagi sesuap petang, hendaklah tenangkan hati, jangan merasa ragu dan sepi. Tuan tidak dilarang bekerja mencari penghasilan, tidak disuruh berpangku tangan dan malas lantaran harta telah ada, kerana yang demikian bukan qanaah, yang demikian adalah kemalasan. Bekerjalah, kerana manusia dikirim ke dunia buat bekerja, tetapi tenangkan hati, yakinlah bahawa di dalam pekerjaan itu ada kalah dan menang. Jadi tuan bekerja lantaran memandang harta yang telah ada belum mencukupi, tetapi bekerja lantaran orang hidup tak boleh menganggur.

Hal ini kerap menerbitkan salah sangka dalam kalangan mereka yang tidak faha rahsia agama. Mereka lemparkan kepada agama suatu tuduhan, bahawa agama memundurkan hati bergerak. Agama membawa manusia malas, sebab dia sentiasa mengajak umatnya membenci dunia, terima saja apa yang ada, terima saja takdir, jangan berikhtiar melepaskan diri. Sebab itu, bangsa yang tidak beragama beroleh kekayaan, bangsa yang zuhud terlempar kepada kemiskinan katanya!

Tuduhan demikian terbit lantaran salah perasangka pemeluk agama sendiri. Mereka sangka bahawa yang bernama qanaah ialah menerima saja apa yang ada, sehingga mereka tidak berikhtiar lagi. Mereka namai taqwa orang yang hanya karam dalam mihrab. Mereka katakan soleh orang yang menjunjung serban besar, tetapi tidak memperdulikan gerak geri dunia. Mengatur hidup, mengatur kepandaian, ilmu dunia, semuanya mereka sangka tidak boleh dilarang agama! Sebab kesalahan persangkaan pemeluk agama itu, salah pulalah persangkaan orang yang tidak terdidik dengan agama, bukan kepada pemeluk agama yang salah pasang itu, tetapi salah sangka kepada agama sendiri.

Intisari pelajaran agama ialah menyuruh qanaah itu, qanaah hati, bukan qanaah ikhtiar. Sebab itu terdapatlah dalam masa sahabat-sahabat Rasulullah saw, orang kaya-kaya, berwang, berharta berbilion, beruma sewa, berunta banyak, memperniagakan harta benda keluar negara, dan mereka qanaah juga. Faedah qanaah amat besar di waktu harta itu terbang dengan tiba-tiba.

Sri baginda ratu Belanda Wilhelmina seorang ratu yang masyhur mempunyai pendirian qanaah ini. Puteri Yuliana, disuruh mempelajari segala macam kepandaian yang perlu untuk menjaga hidup sehari-hari, disuruh belajar menjahit, memasak, menyulam dan lain-lain. Ketika ditanyai orang kepada baginda apa maksud yang demiian, baginda menjawab kira-kira demikian.

"Tipu daya dunia tak dapat dipercayai, ini hari kita dipujuknya, besok mana tahu kita diperdayakannya, sebab itu kita tak boleh harap dengan yang ada, dan tak boleh cemas menempuh apa yang akan terjadi".

"Tipu daya dunia tak dapat dipercayai, ini hari kita dipujuknya, besok mana tahu kita diperdayakannya, sebab itu kita tak boleh harap dengan yang ada, dan tak boleh cemas menempu apa yang akan terjadi".

Inilah pendirian yang sepantasnya bagi seorang raja, terutama di zaman demokrasi, kerani nasib tidak dapat ditentukan, berapa banyak raja yang lebih besar dari Ratu Wilhelmina, dan Yuliana terpaksa meninggalkan singgahsananya. Pelajari hidup bersakit, kerana nikmat tidaklah kekal.

Maksud qanaah itu amatlah luasnya. Menyuruh percaya yang betul-betul akan adanya kekuasaan yang melebihi kekuasaan manusia, menyuruh sabar menerima ketentuan Ilahi jika ketentuan itu tidak menyenangkan diri, dan bersyukur jika dipinjamiNya nikmat, sebab entah terbang pula nikmat itu kelak. Dalam hal yang demikian disuruh bekerja, kewajipan belum berakhir. Kita bekerja bukan lantaran meminta tambahan yang telah ada dan tak merasa cukup pada apa yang dalam tangan, tetapi kita bekerja, sebab orang hidup mesti bekerja.

Itulah maksud qanaah.

Nyatalah salah persangkaan orang yang mengatakan qanaah ini melemahkan hati, memalaskan fikiran, mengajak berpangku tangan. Tetapi qanaah adalah modal yang paling teguh untuk menghadapi penghidupan, menimbulkan kesungguhan hidup yang betul-betul (enerti) mencari rezeki. Jangan takut dan gentar, jangan ragu-ragu dan syak, mantapkan fikiran, teguhkan hati, bertawakal kepada Tuhan, mengharapkan pertolonganNya, serta tidak merasa kesal jika ada keinginan yang tidak berhasil, atau yang dicari tidak dapat.

Kenapa kita ragu-ragu, padahal semuanya sudah tertulis lebih dahulu pada azal, menurut jalan sebab dan musabab.

Ada orang yang putus asa dan membuat bermacam-macam 'boleh jadi' terhadap Tuhan. Dan berkata:

"Boleh jadi saya telah ditentukan bernasib buruk, apa guna saya berikhtiar lagi. Boleh jadi saya telah ditentukan masuk neraka, apa guna saya bersembahyang".

Ini namanya syu'uahan, jahat sangka dengan Tuhan, bukan husnus zhan, baik sangka. Lebih baik merdekakan fikiran diri dari syu'uzhan itu. Faham demikian tidak berasal dari pelajaran agama, tetapi dari pelajaran falsafah yang timbul setalah ulama-ulama Islam bertengkar-tengkar tentang takdir, tentang azali, tentang qadha dan qadar.

Tak mungkin Allah akan begitu kejam, menentukan saja seorang mesti masuk neraka, padahal dia mengikut perintah Allah?

Kembali kepada qanaah tadi, maka yang sebaik-baiknya ubat buat menghindarkan segala keraguan dalam hidup, ialah berikhtiar an percaya kepada takdir. Hingga apa pun bahaya yang datang kita tidak syak dan ragu Kita tidak lupa ketika untung, dan tidak cemas ketika rugi. Siapa yang tidak berperasaan qanaah, ertiya dia tak percaya takdir, tak sabar, tak tawakal. Mesti tak dapat dia tak percaya takdir, tak sabar, tak tawakal. Mesti tak dapat tidak, fikirannya kacau, lekas marah,penyusah, dan bilamana tidak, fikirannya kacau, lekas marah, penyusah,dan bilamana beruntung lekas pembangga. Dia lari dari yang ditakutiya, tetapi yang ditakuti itu berdiri di muka pintu, sebagaimana orang yang takut mengingat-ingat, barang yang diingat-ingat, kian dicubanya melupakan teringat itu, kian teguh dia berdiri di ruang matanya.

Ini semuanya tidak terjadi pada orang beriman yang redha menerima apa yang tertentu dalam azal. Meskipun susah atau senang, miskin atau kaya, semua hanya pada pandangan orang luar. Sebab dia sendiri adalah nikmat, dan kekayaan dalam perbendaharaan yang tiada ternilai harganya, 'pada lahirnya azab, pada batinnya rahmat'. Jika ditimpa susah, dia senang sebab dapat mengingat kelemahan dirinya dan kekuatan Tuhannya, jika dihujani rahmat, dia senang pula, sebab dapat bersyukur.

Qanaah, adalah tiang kekayaan yang sejati. Gelisah adalah kemiskinan yang sebenarnya. Tidak dapatlah disamakan lurah dengan bukit, tenang dengan gelisah, kesusahan dan kesukaan, kemenangan dan kekalahan, putus asa dan cita-cita. Tak dapat disamakan orang yang sukses dengan orang yang muflis.

Keadaan-keadaan yang terpuji itu terletak pada qanaah, dan semua yang tercela ini terletak pada gelisah. 

Friday, September 28, 2012

Makanan atau Hiburan Roh


Sabda Rasulullah SAW:Maksudnya: 
"Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah manusia. Kalau ia rosak, maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati (roh)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini bermaksud, hati kitalah yang menentukan tindak-tanduk kita seharian. Tangan, kaki, mulut, perut dan lain-lain anggota, cuma menunaikan kehendak-kehendak hati. Olehkerana itu roh (hati) hendaklah diberi makanan atau hiburan yang baik (sempurna) barulah roh (hati) itu sihat dan kuat. Roh yang sihat ialah roh yang mempunyai sifat-sifat hati yang bersih (baik) yakni sifat-sifat hati yang mahmudah.Sebaliknya kalau roh (hati) diberi makanan atau hiburan yang tidak baik atau kotor, roh tadi jadi sakit atau lemah (lemah jiwa). Roh yang sakit ialah kerana dia berpenyakit. Yakni roh itu mempunyai sifat-sifat hati yang kotor (keji) iaitu sifat-sifat mazmumah.

Barangkali boleh kita kiaskan keperluan makanan atau hiburan roh sama seperti keperluan makanan jasad lahir. Kalau jasad lahir perlukan makanan, maka roh juga perlukan makanan. Jasad akan gemuk dan subur kalau dia diberi makanan yang baik dan berzat. Memilih makanan yang baik untuk badan sangat penting untuk menentukan badan sihat bertenaga dan tidak berpenyakit seperti diberi makan nasi, daging, ikan, sayur, susu dan lain-lain lagi. Ia merupakan makanan berzat yang mampu membina tubuh. Jasad lahir jadi subur dan cepat membesar. Badan jadi segar, cergas, aktif dan bergerak tangkas.

Kalaulah jasad lahir tadi perlukan makanan yang baik dan berzat, roh juga perlukan makanan atau hiburannya yang baik  untuk membina roh atau memberi kekuatan kepada roh. Makanan yang baik dan bersih untuk roh ialah zikir, tasbih, tahmid, tahlil, sembahyang, puasa, baca Al Quran, doa, selawat, tafakur,mendapatkan ilmu yang memberi manfaat, memahami dan merasa tentang kebesaran dan kehebatan Allah, faham kenapa Allah datangkan ujian, faham segala qadak dan qadar Allah.

Juga berjuang dan berjihad, berdakwah dan mengajar kerana keredhaan Allah, berkhidmat dengan manusia sama ada dengan ilmunya, tenaganya, hartanya dan lain-lain lagi, dengan kefahaman dan penghayatan serta dengan hati yang penuh ikhlas. Bila makanan yang baik untuk roh ini diberikan maka roh itu akan subur dan sihat. Kemudian ia tidak sakit dan berpenyakit.

Roh yang sihat ialah roh yang mempunyai sifat-sifat yang baik(mahmudah) seperti sifat-sifat tawadhuk, pemaaf, pemurah, berani, tawakal, sabar, lapang dada, kasih sayang, timbang rasa, taat, patuh, redha, zuhud, cintakan Akhirat, cinta Allah, rindukan Syurga, takutkan Neraka dan lain-lain lagi. Dengan wujudnya sifat-sifat roh atau hati yang disebutkan tadi, akan tercetuslah keharmonian, aman damai dan kebahagiaan di dalam kehidupan secara individu dan bermasyarakat.

Ertinya, kalau roh sihat, individunya jadi orang yang baikbaik dan soleh. Bukan sahaja dia baik tetapi orang-orang lain juga dapat manfaat bersama dengan kebaikannya. Dia boleh memberi bantuan untuk keamanan dan keselamatan orang lain. Sepertimana pernah berlaku dalam sejarah di zaman Rasulullah SAW juga salafussoleh. Makanan roh mereka adalah zikir, tasbih, tahmid, tahlil, baca Al Quran, sembahyang, sedekah, puasa, tafakur,selawat dan lain-lain lagi.  Mereka disebut oleh Rasulullah SAW sebagai:
Maksudnya: "Sebaik-baik manusia ialah manusia di kurunku. Kemudian kurun yang mengiringinya. Kemudian kurun selepas itu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru itu lahirlah dalam kehidupan mereka hasil daripada roh yang kuat dan tenang serta akal yang dipimpin oleh hati, satu kehidupan yang luar biasa. Mereka aktif membantu masyarakat,berkhidmat pada masyarakat, mementingkan masyarakat dan mengutamakan orang lain lebih dari diri sendiri. Mereka jadi pelindung dan penaung kepada masyarakat. Jadi pembangun tamadun dan pengislah di bumi. Masyarakat selamat, dunia jadi aman makmur.

Kenapa berlaku roh atau hati itu sakit? Kiasannya, macam juga badan atau jasad lahir. Badan sakit kerana makanan yang  tidak baik atau tersalah memilih makanan. Atau badan terdedah dengan udara yang berkuman. Badan atau jasad kurus kalau tidak diberi makanan yang baik-baik. Makanan yang tidak bersih, bernajis dan berkuman tidak baik untuk badan atau jasad sepertirokok, arak, candu, ganja, morfin dan lain-lain lagi. Akhirnya, badan jadi tidak subur, rosak dan mudah diserang penyakit.

Akibatnya badan jadi lemah, tidak bertenaga, hilang kecergasan,tidak bermaya, tidak aktif, pasif dan sakit-sakit. Bahkan menyusahkan orang lain dengan kesakitan yang ditanggungnya. Boleh jadi penyakitnya itu penyakit yang berjangkit yang menyebabkan orang menjauhi diri darinya. Ertinya bukan dia sahaja yang sakit dan susah bahkan orang lain juga turut susah dan disusahkannya.

Begitu jugalah bandingannya roh yang diberi makan dengan makanan yang tidak baik atau tersalah pilih makanan yang tidak bersih tadi. Makanan roh yang tidak bersih atau tidak baik itu seperti berhibur dengan nyanyian yang melalaikan, muzik-muzik, menonton filem-filem lucah, suka melihat aurat perempuan, suka bergaul bebas dengan lelaki atau perempuan yang bukan muhramnya, berhibur dengan judi, tari-menari, arak, zina, suka ke kelab malam, pub, disko, rumah sundal dan sebagainya.

Semua makanan atau hiburan roh bentuk ini akan membina mazmumah serta menyuburkan dan membangkitkan nafsu. Oleh kerana makanan roh tadi itu tidak bersih, maka akibatnya roh jadi tidak subur. Roh sudah dirosakkan. Jadilah roh itu sakit,  mudah berpenyakit atau lemah jiwa. Iaitu ia ditimpa penyakit-penyakit sifat-sifat mazmumah seperti sombong, riyak, ujub, pemarah, tamak, hasad dengki, pendendam, bakhil, penakut, gila dunia, gila pangkat, gila puji dan lain-lain lagi.

Dorongan hati (roh) yang bersifat jahat ini akan menghasilkan tindak-tanduk anggota-anggota lahir yang mencetuskan perbuatan-perbuatan jahat di tengah kehidupan masyarakat. Maka lahirlah mengumpat, mengeji, menghina, menghasut, berkrisis yang tidak sudah-sudah, demonstrasi di sana sini, perpecahan di mana-mana, penipuan di semua peringkat, rasuah berleluasa,kecurian dan rompakan yang menjadi-jadi, penyalahgunaan kuasa bermaharajalela, menggelapkan wang negara, kekusutan rumah tangga yang berpanjangan dan pergaduhan yang akhirnya membawa peperangan. Inilah kemuncaknya. Akibat dari itu, akan hilang ketenangan, kebahagiaan, kedamaian dan keselamatan di kalangan manusia.

Tidak ada ketenangan, kebahagiaan dan kedamaian di dunia hari ini kerana roh manusianya sudah ditimpa penyakit mazmumah.Bukan sebab-sebab yang lain. Tapi malangnya para pemimpin,golongan intelek, para pendidik atau para cendiakawan hari ini banyak yang belum ketemu lagi punca-punca penyakit ini. Masing-masing menyangka tidak bahagia, tidak tenang,tidak damai adalah berpunca daripada soal-soal kemiskinan,berpunca dari soal-soal ekonomi, soal-soal politik yang ada,berpunca daripada sistem masyarakat yang wujud di hari ini.Walhal itu semua adalah buah atau hasilnya. Pokoknya adalah hati. Hati (roh) itulah punca segala masalah (penyakit).

Oleh kerana cerdik pandai dan para pemimpin hari ini tidak nampak penyakit-penyakit ini berpunca daripada hati, maka dicuba-cubalah baiki penyakit-penyakit tadi dengan membaiki sistem yang ada ini. Dibaiki sistem pentadbiran, dibaiki sistem politik, dibaiki sistem masyarakat, membasmi kemiskinan dan lain-lain lagi. Yang paling parahnya, hati mereka sendiri lebih banyak penyakitnya (mazmumah) atau paling jahat. Apakah orang jahat boleh membaiki orang jahat? Anda jawablah sendiri.Inilah yang berlaku di dunia moden hari ini.

Oleh itu kononnya berhibur mengikut istilah masyarakat hari ini mesti dengan melakukan maksiat dan kemungkaran. Itu adalah pendapat yang tidak betul menurut Islam. Hakikatnya ia menjadikan hati (roh) macam badan atau jasad yang makan makanan yang kotor, bernajis dan berkuman atau macam tersalah pilih makanan seperti ganja atau morfin. Bahkan bertambah melalaikan dan merosakkan badan. Begitu juga roh (hati), dia jadi bertambah berpenyakit dan sakit. Memperdalamkan lagi sakit jiwanya. Disangka terhibur tapi yang sebenarnya tidak.Cuma berhibur dengan maksiat ini mengghalitkan (melalaikan) .

Lupa sekejap masalah dan penderitaan jiwa (buat sementara waktu). Bukan membahagiakan, hanya lupakan sekejap masalah diri. Selepas itu penderitaan itu datang semula bahkan bertambah kusut dan bertambah frust lagi. Buktinya, kita lihat di dunia hari ini, mereka yang menggelar diri mereka itu penghibur antarabangsa, merekalah yang paling tidak terhibur. Berjaya menghiburkan orang tetapi hatinya sendiri tidak terhibur. Akhirnya ambil dadah, ganja, morfin dan sebagainya. Diri binasa dengan AIDs dan akhirnya mati. Sesetengahnya pula bunuh diri.

Sebab itu penghibur-penghibur di hari ini seperti penyanyi,penasyid- penasyid yang telah melacurkan nasyid-nasyidnya, penari, pelakon, penyambut tetamu, peragawati, pelacur-pelacur, yang dedah aurat dan jual maruah diri dengan harga yang murah, mereka semuanya sebenarnya orang yang paling sakit jiwa. Itulah sebabnya golongan inilah yang paling banyak 'frust' dalam hidup. Data dan fakta menunjukkan golongan inilah yang paling banyak bunuh diri, kahwin cerai, kecewa dan sakit jiwa.

Paling tidak, jiwanya gelisah.Ini menunjukkan berhibur cara itu bukan fitrah tetapi adalah rangsangan nafsu yang jahat. Oleh itu orang-orang yang berhibur dengan perkara itu tadi, akan jadi orang yang jahat pula.Yang mana selalu jadi masalah pada masyarakat. Untuk membuktikan ia bukan dari fitrah murni tetapi dari dorongan nafsu jahat, kita lihat walaupun majoriti manusia terjebak dengan hiburan itu kerana tidak mampu untuk lawan nafsu tetapi kalau seseorang itu hendak jadi pemimpin negara atau raja, orang ramai akan mempersoalkan jika dia kaki disko, kaki zina dan kaki membuang masa di kelab malam.

Di Barat, mana-mana pemimpin yang terlibat dengan kes-kes perempuan, dia akan jatuh dalam pilihan raya. Rakyat tidak menyenanginya sedangkan rata-rata rakyatnya pun sama-sama jahat seperti pemimpin mereka. Ini menunjukkan fitrah manusia suka pada kebaikan walaupun dia sendiri seorang yang tidak baik.

Berinteraksi dengan Allah s.w.t. Melalui Kehidupan


Kehidupan ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya. Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada dirinya semata-mata.

Hidup ini suatu lapangan, tempat di mana Allah s.w.t. menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya. Hidup ini suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.

Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri. Ini kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri, kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah s.w.t. yang Maha Pencinta.

Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat. Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati. Di mana nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?

Bagi seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya, pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna. Kebendaan dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan jiwanya. Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.

Bertolak daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan hukum-hakamNya, merupakan penzahiran "interaksi" Tuhannya kepadanya. Seseorang hamba yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam segenap tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah (interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.

Bermula dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum Allah s.w.t. dalam kehidupannya, maka penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba mula bersinar dalam hatinya. Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan pandangan zauqi (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati bahawasanya, syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan dan mentadbirnya dan seluruh alam ini.

Bertolak daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhuk, istiqomah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat ketentuan Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya.

Apabila dia ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan melahirkan sifat "sabar" terhadap ketentuanNya yang menimpanya tersebut. Dia juga menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah s.w.t. dengan mengembalikan ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya kepada Allah s.w.t. yang mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka semata-mata untuk menagih keredhaan dan bantuanNya.

Seseorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu kepada Allah s.w.t. akan masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.

Adapun seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan hakikat diri yang "lemah" dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam menghadapi ketetapanNya, sedangkan orang yang merungut di hadapan Allah s.w.t. mengenai ketentuanNya ke atasnya bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketentuanNya yang tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu dirinya.

Mengadu dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada Allah s.w.t. tidak mengandungi unsur mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t., tetapi sekadar memohon rahmat dan bantuan Allah s.w.t. agar dia mampu menghadapi ketentuanNya dengan bantuanNya. Adapun orang yang merungut kepada Allah s.w.t. membawa maksud mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t. dan terkadang boleh membawa kepada menyalahkan Allah s.w.t., seolah-olah dia lebih pandai dari Allah s.w.t.. Berbeza antara menzahirkan rasa lemah dengan menzahirkan kepandaian diri di hadapan Allah s.w.t..

Oleh kerana itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli yang menghayati makna kehambaan ini mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan Allah s.w.t. dengan berdoa (dalam hizb al-kabir):

"Wahai Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku dalam setiap ketentuanMu ke atasku"

Nilai kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Saidina Rasulullah s.a.w. dalam doa Baginda s.a.w. ketika di Thaif dengan berdoa:

"Wahai Tuhanku, aku mengadu kepadaMu akan lemahnya diriku…".

Nilai-nilai mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam diri seseorang hamba kepada Tuhannya.

Oleh yang demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan rasa memerlukannya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.

Adapun takkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang didapatinya kepada Allah s.w.t., bukan menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha dirinya sendiri.

Inilah nilai kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa berasa menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa semua kebaikan adalah daripada Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pemurah.

Dengan rasa syukur tersebut, maka Allah s.w.t. menganugerahkan makrifatuLlah (mengenal Allah s.w.t.) kepadanya, dan menganungerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia muamalah Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya. Inilah kelebihan daripada sifat syukur yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. yang berfirman dengan maksud: "jika kamu bersyukur, Aku akan tambah buatmu akan nikmat"… Penambahan nikmat yang agung adalah, kefahaman tentang hakikat diri, hakikat kehidupan dan hakikat ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya seharian.

Hidup ini ialah tempat bemualamah secara beradab. Bagaimana seseorang ingin beradab dalam bermuamalah dengan Allah s.w.t. melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal hakikat dirinya sebagai hamba Allah s.w.t. yang perlu beradab kepadaNya, tidak mengenali hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada Allah s.w.t. dalam berinteraksi kepadaNya dan tidak mengenali Allah s.w.t., Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya?

Dalam hidup ini terkandung risalah-risalah Allah s.w.t. dalam segenap detik dalam kehidupan kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya dengan adab kehambaan kepadaNya. Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama bagi kerohanian seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya. Setelah seseorang mencapai istiqomah dalam sabar dan syukur dalam segenap kehidpannya terhadap setiap ketentuanNya dengan bantuan Allah s.w.t., maka dia akan dianugerahkan rasa redha kepada Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya.

Pada darjat "redha" inilah, seseorang manusia tidak lagi merasai beza antara ketentuan dengan ketentuan, tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya sentiasa fokus kepada mencari keredhaan Allah s.w.t. di sebalik setiap ketentuanNya, dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada Allah s.w.t.. Sesungguhnya, redha kepada Allah s.w.t. ini merupakan darjat yang teragung yang dicapai oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan meredhai Allah s.w.t. melainkan setelahmana Allah s.w.t. meredhainya dan berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.

Kehidupan ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya. Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap makna kehambaan dirinya dalam kehidupannya, makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya selaku hambaNya. Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia. Hidup tanpa "makna", yang tinggal hanyalah "makan". Makan, minum, tidur dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya yang semakin menuju kesudahan. Akhirnya, dia di sisi Allah s.w.t. bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak menghargai nilai kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna yang mulia.

Masalah kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah kerana gagal menanggung ketentuan Allah s.w.t., tetapi masalah-masalah tersebut kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya" lalu membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang sepatutnya. Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dan menderita dalam rangka untuk mencari kebahagiaan menurut persepsinya.

Kebahagiaan bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada Allah s.w.t.. Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda s.a.w. yang mulia. Hidup ini bukan tempat setiap orang cari apa yang dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya diciptakan. Kalau mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkahmu dalam mencarinya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang kamu himpunkan hanyalah penderitaan demi penderitaan.

Wallahu a'lam…

10 Benda Tak Dapat Dibeli Dengan Wang


Gambar Hiasan

DUIT, di zaman materialistik sekarang ini, semua orang mahukan duit. Orang dewasa, remaja bahkan kanak-kanak kecil sekalipun kenal dengan sekeping kertas yang diberi nama “duit”. Memang duit penting dalam kehidupan, tanpa alat tukar ini kita tidak boleh memenuhi keperluan hidup. Duit membuatkan manusia melakukan perkara yang diharamkan, manusia menjadi rakus kerana duit, manusia pecah amanah, rasuah, merompak, melacur malah membunuh manusia lain kerana duit. Kejayaan orang di zaman kini juga diukur dengan banyaknya duitnya.

Tetapi walau bagaimana pentingnya duit, masih ada benda yang tidak boleh dibeli dengan duit.

1. Masa
Duit tidak akan dapat mengembalikan masa yang telah berlalu. Setelah hari berganti, maka masa 24jam tersebut akan hilang dan tidak akan mungkin akan kembali lagi. Oleh itu gunakan setiap kesempatan yang ada untuk menyatakan perhatian dan kasih sayang anda kepada orang yang sangat anda sayang dan anda cintai, sebelum waktu itu berlalu dan anda menyesalinya.Begitu juga dengan tanggungjawab dengan Allah, jika kita terlepas waktu Subuh pagi tadi, ia tidak dapat ditukar dengan berapa juta pun wang untuk kembali ke waktu Subuh tadi.

2. Kebahagiaan
Memang kedengaran pelik, tapi inilah kenyataannya. Duit memang boleh membuat anda merasa senang kerana anda boleh bercuti mewah, memberi laptop dengan kemudahan yang sangat canggih, atau membeli kereta dan rumah mewah 8 tingkat sekalipun. Tetapi duit tidak boleh menghadirkan sececah kebahagiaan dari dalam lubuk hati kita. Berapa ramai orang kaya yang tidak boleh tidur walaupun dalam aircond yang sejuk dan dalam bilik yang super mewah yang katilnya berharga berpuluh ribu ringgit.

3. Kebahagiaan Anak
Untuk membeli makanana dan pakaian yang bagus-bagus untuk anak tercinta memang memerlukan duit. Tetapi anda tidak boleh menggunakan wang untuk memberikan rasa aman, tanggungjawab, sikap yang baik serta kepandaian pada anak anda. Hal ini memerlukan waktu dan perhatian yang anda curahkan untuk mereka dan amalan baik yang anda ajarkan. Duit memang membantu kita memenuhi aspek penjagaan, tapi waktu telah membuktikan bahawa keperluan asas tiap anak adalah berapa banyak masa yang diberikan orangtuanya, bukan “duitnya”.

4. Cinta
Cinta tidak boleh dibeli dengan wang, akuilah hal ini benar. Memang dengan duit kita boleh membuat orang tertarik, tapi cinta berasal dari rasa saling menghargai, perhatian, berbagi pengalaman dan kesempatan untuk berkembang bersama. Itu sebabnya banyak pasangan yang berkahwin kerana duit, tidak bertahan lama atau pun tidak merasa bahagia.

5. Persahabatan
Untuk diterima oleh lingkungan pergaulan dengan sahabat, anda tak perlu duit. Apabila anda ingin diterima, fokuskan tenaga anda untuk membuat diri anda berharga bagi lingkungan sekitar dengan menjadi teman dalam suka dan duka.

6. Kesihatan
Kita memerlukan duit untuk membiayai rawatan dan membeli ubat, tapi duit tidak boleh menggantikan kesihatan yang hilang. Itu sebabnya pepatah lebih baik mencegah daripada mengubati .

7. Kejayaan
Beberapa orang memang ada yang mencapai kejayaan dengan menyogok, tapi ini adalah pengecualian. Kejayaan hanya berasal dari kerja keras, kemahuan, dan rezeki yang tertulis. Ada aspek kecil dari usaha menuju sukses yang boleh didapatkan dengan duit, misalnya mengikuti kursus atau membeli peralatan, tapi kejayaan lebih banyak berasal dari usaha yang anda lakukan sendiri.

8. Bakat
Kita dilahirkan dengan bakat tertentu. Dengan duit, yang boleh kita lakukan adalah mengasah bakat tersebut, misalnya belajar muzik. Namun para pakar mengatakan, untuk menjadi pakar di bidangnya, kita memerlukan bakat semulajadi.

9. Sikap yang baik
Banyak orang yang kaya raya tapi sikapnya kasar,sombong dan cakap besar. Tak sedikit juga orang yang sederhana yang tutur katanya sopan dan menunjukkan rasa hormat pada orang lain. Jadi, jumlah duit yang dimiliki bukan penentu sikap seseorang.

10. Kedamaian
Bila wang boleh membeli kedamaian, barangkali kita tak lagi mendengar tentang perang. Tetapi yang sering terjadi sebaliknya, duitlah yang menjadi sumber pertikaian dan permusuhan. 



Suka dengan apa yang admin kongsikan?. sila klik pada button dibawah sebagai tanda sumbangan ikhlas anda untuk duniakongsi.net. hanya sedikit iklan untuk menampung duniakongsi. sumbangan "klik" dari anda sangat admin hargai dengan ucapan terima kasih (^_^)

android

Dewasa kini, semakin ramai rakyat Malaysia yang mampu membeli dan memiliki telefon pintar atau tablet yang menggunakan sistem operasi Android. Mungkin sesetengah anda di luar sana yang masih tidak tahu dan tertanya-tanya apakah itu Android?http://www.youtube.com/watch?v=ckhXkcAA9U8&feature=player_embedded Untuk makluman, Android adalah sistem operasi untuk peranti bergerak seperti telefon selular, komputer tablet dan notebook. Android dibangunkan oleh Google berdasarkan sistem perisian Linux dan perisian GNU.
Android asalnya dibangunkan oleh Android Inc. (firma yang kemudiannya telah dibeli oleh Google). Kemudian untuk mengembangkan Android, dibentuklah Open Handset Alliance, konsortium daripada 34 syarikat telekomunikasi, termasuk Google, HTC, Intel, Motorola, Qualcomm, T-Mobile, dan Nvidia.
Android mempunyai komuniti yang besar dalam membangunkan serta menulis aplikasi untuk pengembangan fungsi peralatan. Dianggarkan hampir 70,000 aplikasi untuk Android boleh didapati, menjadikanya sasaran pengembangan peralatan kedua paling popular untuk peralatan mobile.
Terdapat pelbagai jenis telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android, contohnya Samsung Galaxy YSony Ericsson Xperia PlaySamsung Galaxy S2Sony Ericsson Xperia X8HTC Desire S, dan sebagainya. Untuk melihat harga (RM) telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android, sila rujuk sini.
Gambar di bawah ialah infografik sejarah Android. (Sila klik pada gambar untuk saiz sebenar)
sejarah android
Mungkin ramai di luar sana yang tidak mampu untuk memiliki telefon pintar Android yang harganya mencecah ribuan ringgit bukan? Jangan bersedih. Anda juga boleh pasang atau jalankan sistem operasi Android di komputer atau netbook anda. Selamat mencuba. :D
Update: Kini anda boleh memiliki telefon pintar Android hanya serendah RM499 iaitu dengan Samsung Galaxy Y:D

Pelik!! Rumah Tinggi, Tiang Sebatang | Silence Blogz ®

Pelik!! Rumah Tinggi, Tiang Sebatang | Silence Blogz ®

Thursday, September 27, 2012

Cahaya Mukmin: Tertib Dalam Amalan : Syariat, Tarikat, Hakikat, Makrifat

Kalau Tuhan tidak 'wujud' di dalam ibadah, lama kelamaan,  Tuhan akan bertambah jauh dan bertambah jauh. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah untuk dipuji, untuk disanjung, dan kerana sebab-sebab  lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah ia tidak akan ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya beserta dengan laknat-Nya sekali. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.

Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada “progression”nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat, kemudian dengan Tariqat, diikuti pula dengan Hakikat dan diakhiri dengan Makrifat.

1. Syariat.

Ini adalah ilmu. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam dan kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.

2. Tariqat.

Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan secara istiqamah dan bersungguh-sungguh, difahami, dihayati. Ilmu [syariat] yang ada perlu dilaksanakan. Pengamalan ilmu ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan setengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi [syariat] hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.

3.Hakikat.

Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah.

Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar, maqam redha, maqam tawakkal, maqam tawadhuk, maqam syukur dan berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja [sebiji buah sahaja] atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam berbeza dari satu pokok yang sama.

Hakikat juga adalah satu perubahan jiwa atau perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan bersungguh-sungguh, istiqamah, faham dan dihayati.

4. Makrifat.

Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia-Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah.

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin.

Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir.

Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke alam batin iaitu ke dalam hati dan rohani.

Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah untuk dicapai kerana ia hanya melibatkan usaha lahir. Tetapi untuk mencapai peringkat hakikat dan makrifat, ia agak lebih sukar dan lebih rumit.

Kesukaran ini ialah kerana pertama, ia memerlukan istiqamah dalam beramal dan kedua kerana ia memerlukan juga amalan batin atau amalan hati atau apa yang dinamakan hikmah. Amalan yang berhikmah ialah amalan yang dihayati dan dijiwai, yang mempunyai roh dan rasa-rasa. Tanpa kedua-dua perkara ini iaitu istiqamah dan hikmah, tariqat tidak akan dapat melonjak ke peringkat hakikat dan seterusnya ke peringkat makrifat.

Itu sebabnya ramai orang yang berjaya sampai ke peringkat tariqat iaitu boleh berilmu dan beramal tetapi tersekat di situ sampai ke tua tanpa dapat meningkat ke peringkat hakikat. Sudah beramal selama 50 hingga 60 tahun tetapi tidak juga lahir akhlak dan tidak juga dapat mencapai maqam-maqam mahmudah. Dalam ertikata yang lain, mereka sudah beribadah berpuluh-puluh tahun tetapi ibadah mereka belum menghasilkan buah iaitu akhlak.

Istiqamah. 

Ini adalah salah satu syarat atau tuntutan untuk mencapai hakikat. Istiqamah ialah tetap dalam beramal. Amalan pula adalah amalan lahir dan ada amalan batin atau hati. Istiqamah itu perlu dalam amalan lahir mahupun amalan batin. Malahan istiqamah dalam amalan batin lebih dituntut.

Istiqamah dalam amalan lahir agak mudah. Ramai orang yang istiqamah dalam sembahyang, dalam berpuasa, dalam berzakat dan sebagainya. Ramai yang tak tinggal sembahyang, tak tinggal puasa. Tetapi istiqamah dalam amalan batin adalah lebih sukar dan rumit. Istiqamah dalam amalan batin ini ramai yang tidak mampu melakukannya walaupun sudah istiqamah dalam amalan lahir. 

Ramai orang cuba sabar tapi tidak istiqamah dalam sabar. Duit hilang boleh sabar. Sakit dan demam boleh sabar. Tapi bila orang kata nista dan menghina, tidak sabar. Bila isteri buat hal, tidak sabar.

Ramai orang boleh bersyukur. Dapat duit bersyukur, dapat pangkat bersyukur, dapat anak pun bersyukur tapi tidak mampu bersyukur bila dapat berbuat ibadah dan kebaikan, dan bila terhindar dari berbuat maksiat dan kejahatan.

Ramai orang boleh jadi pemaaf kalau yang meminta maaf itu kawannya, isterinya atau anaknya. Tapi kalau yang meminta maaf itu musuh atau seterunya, susah dia hendak maafkan.

Ramai orang boleh berbuat baik kepada kawannya, sanak-saudaranya, ibu dan ayahnya yang selalu berbuat baik padanya tetapi tidak sanggup berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat padanya.

Ramai orang boleh bertegur sapa dan bermesra dengan kawan-kawannya tetapi tidak boleh bertegur sapa dan bermesra dengan orang yang dibencinya. Begitulah seterusnya.

Sangat susah dan payah untuk kita beristiqamah dalam amalan hati. Justeru itu ia tidak dapat dijadikan pakaian atau ia tidak dapat mendarah mendaging. Itu sebab istiqamah itu, terutamanya istiqamah batiniah sangat dipandang besar. Ia dianggap satu keramat.

Ada hadis yang maksudnya lebih kurang ;
"janganlah kamu meminta jadi wali, tapi mintalah istiqamah"

Amalan yang tidak istiqamah tidak akan ada kesan apa-apa pada hati. Amalan yang istiqamah, walaupun sedikit akan tetap ada kesan pada hati.

Ibarat air yang menitik ke atas batu, lama kelamaan batu itu akan terlekuk jua. Tetapi air banjir yang besar yang melanda batu sekali sekala tidak akan memberi apa-apa kesan kepada batu.

Istiqamah adalah tanda ikhlas. Kalau sesuatu amalan itu tidak ikhlas, ia sukar untuk diistiqamahkan.

Seperti kata para hukama [ahli hikmah] ;
"Hidupnya [kekalnya] amal kerana ikhlas."

Dalam pada itu, istiqamah batiniah lebih memberi kesan kepada hati daripada istiqamah lahiriah. Itu sebabnya istiqamah batiniah lebih dituntut dan lebih utama. Ia adalah amalan hati dan kerana itu ia mempunyai kesan yang langsung dan terus kepada hati.

Hikmah.

Ia adalah syarat atau tuntutan kedua untuk mencapai hakikat. Hikmah di sini bukan bermaksud bijaksana. Kalau bijaksana, orang Arab akan sebut "Abqoriah". Hikmah di sini bukan bermaksud ilmu atau setakat faham ilmu sahaja. Hikmah ialah ilmu dalam ilmu. Hikmah adalah rasa dan penghayatan. Ia adalah rasa yang Allah campakkan ke dalam hati.

Untuk mendapat ilmu, kita boleh belajar. Tetapi untuk mendapat hikmah, ilmu mesti diamal. Baru ilmu itu bukan setakat di akal tetapi jatuh ke hati. Ilmu hati ini sahaja yang boleh mengubah dan menginsafkan orang.

Kalau ilmu lahir itu dikendalikan oleh akal, hikmah pula ialah ilmu yang dikendalikan oleh roh atau hati.

Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis ;
Maksudnya ; "Kalau kamu amal ilmu yang kamu tahu, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah] yang kamu tidak tahu."

Untuk menjadi ulama itu senang. Tetapi untuk menjadi ahli hikmah sangat susah. Ilmu adalah apa yang kita belajar tetapi hikmah adalah apa yang Tuhan ajar kita
seperti dalam firman Allah ;
Maksudnya ; "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah]. Sesungguhnya Allah Mengetahui segala sesuatu." [Al Baqarah : Ayat 282]

Orang yang mendapat ilmu hikmah, dia mendekati nabi. Inilah dua perkara yang perlu dititik beratkan kalau sekiranya amalan hendak ditingkatkan dari peringkat tariqat kepada hakikat dan seterusnya kepada makrifat.

Ia memerlukan penglibatan hati dan rohani dalam ibadah dalam bentuk penjiwaan dan istiqamah terutamanya istiqamah batiniah di samping amalan lahiriah yang baik dan rapi.

Kalau hati dan rohani tidak turut sama beribadah, agak mustahil perkara ini boleh tercapai.

Untuk mendapat buah dari ibadah iaitu akhlak dan untuk mencapai maqam-maqam mahmudah, ibadah mesti ada roh, mesti ada rasa-rasa, mesti ada penjiwaan dan mesti ada penghayatan. Salahlah orang yang menafikan amalan hati dan amalan rohani dalam ibadah.

Kalau amalan lahir sahaja dititikberatkan maka ia mungkin memadai di peringkat syariat dan tariqat iaitu pada peringkat ilmu dan amal. Memang itu kerja lahir. Tetapi untuk mendapat hasil dari ilmu dan amal tersebut dan supaya ibadah boleh mendidik hati, amalan lahir semata-mata tidak memadai. Dalam ertikata yang lain, untuk mencapai maqam hakikat dalam ibadah dan amalan, itu bukan lagi kerja lahir. Itu adalah kerja hati.