Saturday, September 29, 2012

Pandanglah Menggunakan Mata Hati


Kehidupan ini penuh dengan ranjau? penuh dengan pancaroba.Penuh dengan ujian.
Tetapi itulah dinamakan warna-warni kehidupan.
Kehidupan kita juga diwarnakan dengan pelbagai ragam manusia, ada yang merasa megah dengan kekayaan, pangkat dan harta. Kita merasa angkuh dengan kurniaan ilahi. Kemana kita sebenarnya?
Pandanglah ke Langit
Pernahkah kalian memandang ke langit? anda tidak merasakah bahawa betapa kecil dan kerdilnya kita di alam ini? Kekadang kita rasa bongkak, angkuh, sombong dengan harta,pangkat dan kekayaan. Cuba kita renung. Adakah ia akan kekal?
Adakah apa yang kita ada ini sudah mencukupkan kita rasa hebat? Sedangkan harta pangkat dan kekayaan, pencapaian yang ada pasti tidak kemana. Betapa sedikitnya, dibandingkan dengan kekayaan dan agungnya kekuasaan ilahi yang ciptakan dunia ini.Indahnya melihat langit seakan ingin terbang ke udara. Langit yang membiru itu tidak pernah angkuh dengan kecantikan, kehebatannya. Langit selalu sahaja menurut perintah Allah apabila Dia inginkan langit itu suram tidak bercahaya, langit tunduk dengan perintah-Nya. Tetapi manusia? apabila diuji dengan harta, kekayaan, pangkat, kecantikan dan perkara itu yang membuatkan manusia lupa bahawa dia lemah, semuanya kekayaan tidak akan kekal. Semuanya milik Allah! kita pasti akan MATI. Pernahkah kita insaf? pernahkah kita merasa takjub dengan keagungan ciptaan Tuhan jika dibandingkan apa yang ada pada diri kita ini?
Renung Kembali
Pada satu ketika, kita rasa dengki dengan kekayaan yang ada pada orang lain. Kita rasa dengki dengan pencapaian orang lain. Kita rasa kecewa, mengapa ya Allah , aku tidak sehebatnya. Mengapa aku tidak hebat sepertinya? sebenarnya kita silap. Tidakkah kita mendengar bahawa Allah swt berfirman:
"(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya)." Surah Muhammad Ayat 36
Kita tidak pernah bersyukur dengan kurniannya.Adakah kita masih angkuh sedangkan Allah sudah memberi kita secukupnya? Pandanglah kepada orang yang lebih kurang darimu. Bersyukurkah kita? dimana kita berada? landasan manakah? cuba kita lihat matahari , dia sentiasa mentaati perintah Allah.Di saat ia terbit dengan megah, tetapi apabila Allah perintahkan ia terbenam, ia akan terbenam tetapi dengan ketaatan.
Kembalilah , Bersyukurlah
 Aku ingin mengajak kalian dan diri sendiri agar sentiasa melihat orang yang lebih kurang daripada kita. Kita masih lagi boleh bernafas, tetapi ada di saat ini orang yang berusaha untuk bernafas menyedut udara kerana nazak di ambang sakaratul maut. Ada yang tiada kaki tetapi dia masih bersyukur kerana anggota lain masih ada dan sentiasa lakukan amal , sedangkan kita yang ada kaki jarang bersyukur. Sampai nak menjejak ke rumah Allah pun, kita masih kurang. Ada yang tiada mata, tetapi dia masih bersyukur dan terus bersyukur untuk mengingati Allah dengan sentiasa berzikir. Tetapi kita yang ada mata sanggup memandang perkara haram.  Kita ini selalu lupa siapa kita? Apa tujuan kita dihidupkan di dunia.
Manfaatkan hidup sepenuhnya
Manfaatkanlah dirimu untuk kehidupan Akhirat.Tugasmu adalah mentarbiyah manusia untuk kembali kepadanya! Tugasmu adalah untuk mengabdikan diri kepada pencipta. Kekayaan yang kita ada, pangkat yang kita ada jika kita manfaatkan untuk akhirat . ia pasti akan berharga. Janganlah ada perasaan iri hati dengan pencapaian orang lain. Bersyukurlah dengan apa yang ada.
Usahalah semampu yang boleh! Sesungguhnya Allah menilai kita berdasarkan kualiti bukan kuantiti. ada yang solat tahajjud tetapi  perasaan bongkak ada dalam dirinya. Tiada guna langsung walaupun dia bersolat sebanyak seratus rakaat. Tetapi jika seorang hamba Allah melaksanakan solat tahajjud ikhlas kerana Allah walaupun satu rakaat, tetapi betapa besarnya di sisi Allah. kembalilah kepada jalan Islam. Manfaatkanlah masa yang ada dengan amal.
Wallahualam

ubat dukacita

Dukacita, ialah penyakit yang timbul lantaran terlampau kuatnya keterikatan dengan dunia ini. Keterikatan itu pasti ada selama kita hidup iaitu keterikatan dengan anak, isteri dan sebagainya. Kerana kehilangan orang yang dikasihi atau orang yang disukai. Sebab dari timbulnya dukacita itu, kerana terlalu besar mementingkan keperluan jasmani, dan syahwat tidak terbatas sehingga timbul kepercayaan bahawa barang yang dicintai itu tidak boleh berpisah-pisah selama-lamanya dari badan. Padahal kalau manusia telah tenteram hatinya, sihat badannya, dan cukup pula yang akan di makan pagi dan petang, itulah orang yang sekaya-kayanya dan sesenang-senangnya. Kalau sudah begitu masih merasa dukacita juga, tndanya orang itu kurang akal dan kurang budi. Timbul penyakit dukacita ialah lantaran menyedari keberuntungan yang telah berlalu, atau takut menghadapi bahaya yang akan datang, atau kerana memikirkan bahawa yang ada sekarang ini masih belum cukup dan serba kurang.

1. Dukacita Memikirkan Yang Telah Lalu. 

Kalau manusia berdukacita memikirkan keberuntungan, kekayaan dan kemuliaan yang telah hilang, kedukaan itu tidak berfaedah sama sekali. Sebab segala kejadian yang telah lalu walaupun bagaimana meratapinya, tidaklah akan kembali. Sedangkan masa dua minit yang lalu, walaupun dikejar dengan mesin terbang, yang sekencang-kencangnya atau yang melebihi kecepatan suara, tidaklah dapat dikejar. Apa guna meratapi yang telah lalu, dia tak akan pulang, dan lantaran diratapi dia boleh merosakkan badan. Kedukaan yang begini timbulnya lantaran tidak berkeyakinan bahawa segala isi alam ini asalnya tidak ada, kemudian itu ada dan akhirnya akan lenyap. Kemuliaan, ketinggian, kemajuan kecintaan yang disayangi anak dan isteri, harta benda, semuanya akan datang kepada kita dan akan pergi dari kita. Kalau tidak kita yang pergi lebih dahulu, tentu mereka. Sebab kepergian itu berdahulu, berkemudian juga.

Mengubat dukacita ini tidak lain hanyalah dengan menjaga yang tinggal sekarang. Kerana semuanya ini, baik yang telah pergi dan hilang atau yang sedang ada, apalagi yang akan datang, semuanya itu nikmat. Jangan ampai lantaran meratapi nikmat yang hilang, kita lupa akan nikmat yang ada. Nanti yang ada itu setelah hilang diratapi pula.

Dalam pepatah ada tersebut:-

"Kalau ada jangan harap, kalau hilang janganlah cemas.
Di waktu nikmat membanjir, hendaklah syukuri, letakkan ditempatnya. Insaf bahawa barang ini hanyalah pinjaman. Jika nikmat yang sangat dicintai itu masa muda, gunakanlah masa muda itu dengan baik, dan yakini masa muda itu tak lama. Kalau dia pergunakan dengan baik, kelak kalau sampai tua, kita tidak menyesali kepergiannya lagi, melainkan tersenyum dan bangga bahawasanya semasa muda dahulunya, kita telah berbuat baik.

Kalau nikmat yang membanjir itu harta benda, kekayaan dan kemuliaan, peliharalah dan gunakan dengan baik. Jangan dilupakan bahawa dia akan pergi. Jangan hanya diingat semasa saya kaya daulunya. Ingat pula yang sebelum itu, iaitu: Semasa saya lahir dahulunya.

Seketika Maharaja Iskandar Zulkarnain akan menghembuskan nafasnya yang penghabisan, setelah menaklukkan negeri-negeri Persia dan India, setelah dirasakannya bahawa telah sampai waktunya kembali ke akhirat, maka Maharaja yang muda belia itu mengumpulkan orang-orang besarnya dan berkata:

"Bilamana aku mangkat, letakkan mayatku dalam peti, bawa ke negeri Persia dan Mesir dan ke segenap jajahan yang telah aku taklukkan. Dari dalam peti hendaklah hulurkan kedua belah tanganku yang kosong, supaya orang tahu bahawa Raja Iskandar yang maha kuasa, walau bagaimana kuasa sekalipun, dia kembali ke akhirat dengan tangan kosong juga. Jika ibu dan ahli rumahku hendak meratapi mayatku, janganlah dilarang mereka meratap, cuma suruh saja cari dua orang yang akan jadi temannya, iaitu orang yang tidak akan mati selama-lamanya, dan orang yang tidak pernah kematian. Kalau yang berdua itu telah ada, bolehlah mereka meratapi aku".

2. Dukacita Memikirkan Yang Sekarang.

Kalau orang berdukacita memikirkan yang sekarang barangkali orang ini berdukacita kerana orang lain dapat nikmat, dia tidak. Atau kerana melarat hidupnya, dan cita-citanya yang sentiasa tak berhasil. Barangkali dia kekurangan harta, kurang mulia. Barangkali juga dia tidak duduk sama rendah, tegak sama tinggi dengan orang lain.

Sebabnya orang ini berdukamita, ialah lantaran dia tak tahu rahsia kehidupan dan dunia. Dia tidak tahu dunia ini kandang ripuan. Ini hari disenyumkannya kita, esok ditangiskannya. Kalau hendak mengubati penyakit ini, janganlah diingat tatkala Napoleon jadi kaisar saja, tetapi hendaklah diingat pula semasa dia mati di tanah pembuangan di Pulau St. Helena. Kalau difikirkan sampai ke sana, timbullah syukur dalam hati, mujurlah saya dalam keadaan yang begini. Secinta-cinta orang kepada perempuan cantik, kalau difikirkannya akhir akibat perempuan itu, akan kuranglah cintanya. Sebab rahsia dunia ini ganjil sekali. Tiap-tiap kemuliaan mengandung racun, dan tiap-tiap kesengsaraan mengandung faedah. Manusia hidup di dunia diancam dengan tiga anak panah. Panah kejatuhan, panah penyakit, dan panah kematian.

Lihatlah garis perjalanan dunia, peredaran politik tiap hari, lihat dan baca. Jangan dilihat dan dibaca saja, perhatikan pula akibatnya. Cuba lihat negeri Austria di masa yang lalu menjadi pusar Kerajaan Austria Hongaria. Kemudian jadi satu bahagian kecil dari Jermania Raya. Kemudian jadi kota kecil yang miskin. Kekayaannya hanya semata-mata sejarah. Lihat pula negeri Jerman, menjadi kerajaan yang kalah, kemudian naik daun, kemudian kalah dan bangkit menjadi bangsa yang kuat. Demikian keadaan negeri, demikian pula raja-raja. Itulah hidup.

Kalau diperhatikan segala kejadian ini dengan saksama, tidaklah orang akan berhiba hati memikirkan kekurangan diri dan nasib, tidak pula akan tercengang melihat kenaikan dan kejatuhan orang lain, tidak harap lantaran dapat untung, dia tidak cemas lantaran beroleh rugi.

Janganlah menyangka, bahawa 'hidup' itu hanya bernafas, hanya makan dan minum. Carikan segala ikhtiar untuk memperbanyak pengalaman dan ilmu dari edaran alam. Berjalanlah ke pasar-pasar, ke muka-muka pejabat bank. Lihatlah bagaimana seorang kasir payah-payah menghitung-hitung wang berjuta-juta tiap hari, sedang gajinya hanya 600 rupiah (60 sen) seublan. Jangan pula lupa melihat anak kecil dan perempuan-perempuan tua yang duduk di muka bank itu. Duduk berlindung di cucuran atapnya, kerana tidak mempunyai rumah. Batasnya dengan tempat penyimpan wang berjuta-juta itu hanya sebatas dinding, tetapi bukan dia yang empunya. Cuba periksa apakah tuan yang menguasai bank itu bersukacita dan gembira lantaran wang banyak? Pernahkah tuan itu susah? Pernah! Dia menyusahkan wangnya yang banyak, dan perempuan dan anak kecil dan nenek tua yang duduk di muka bank itu menyusahkan wang pembeli nasi tak ada. Cuma yang disusahkan yang berlain, darjat susah sama.

Semasa agama Islam mulai dibangkitkan, Rasulullah saw melarang sahabat-sahabatnya ziarah ke kuburan, takut kepercayaan dan iktikad mereka akan rosak kembali, kerana mereka masih dekat dengan zaman jahiliah. Tetapi setelah tiba di Makkah, larangan itu baginda cabut buat kaum lelaki, mereka dibolehkan ziarah ke kubur. Lantaran ziarah ke kubur menimbulkan ingatan kepada kematian. Tidak berapa lama kemudian, perempuan-perempuan diberi pula ieizinan, untuk menjadi iktibar.

Ahli-ahli tasauf banyak ziarah ke dekat-dekat penjara, ke rumah sakit, ke tempat-tempat orang miskin yang melarat, bahkan mereka singkirkan mendekati istana-istana.

Apakah guna semua itu? Ialah untuk menimbulkan keinsafan bahawa kita tak boleh berdukacita atas kesusahan, dan tak boleh bergembira benar atas kemuliaan, kerana dunia ini penuh rahsia.

Dalam urusan kehidupan hendaklah mengadap kepada orang yang lebih atas jangan terbalik, supaya tidak hilang pedoman. Itulah maka kerapkali bila ditanya seorang yang salah: Apa sebab engkau berbuat kesalahan ini? Dia menjawab: Sedangkan tuan Anu berbuat demikian.

Jika ditanyai, mengapa engkau menghabiskan umur begini dalam hidupmu? Dia menjawab: Aku sangat ingin bermegah-megah semacam si Anu. 

Dukacita Memikirkan Yang Akan Datang.

Jika orang berdukacita memikirkan masa yang akan datang, tentu yang dia fikirkan satu dari dua macam kejadian, iaitu yang pasti datang dan yang barangkali datang.

Yang pasti datang adalah mati an tua, mustahil menolaknya. Hal itu tak usah diulang lagi.

Duka mengingat akan tua dan mati, adalah duka kerana jahil.

Kalau hal itu masih boleh ditolak, lebih baik jangan dihabiskan hari dalam berdukacita, tetapi lekas-lekaslah sediakan segala usaha penolak yang ditakuti itu. Kalau hanya berdukacita saja, tentu dia datang juga, tandanya kita tidak percaya adanya kudrat dan iradat Allah. Di sinilah perlunya persediaan 'tawakkal' serahkan keputusan itu kepada Allah swt.

Itulah maksud firman Tuhan:

Ertinya:
Tiadalah menimpa suatu musibah di dalam bumi ini, atau di dalam dirimu sendiri, melainkan semuanya itu telah tertulis di dalam Kitab, sebelum ia terjadi dahulunya. Semuanya itu bagi Allah mudah saja. Supaya janganlah kamu sekalian berdukacita mengingat barang yang telah hilang dan jangan pula bersukacita atas barang yang datang kepadamu, dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong dan membanggakan diri". (Al-Hadid: 22-23).
Orang sangat takut bahaya yang akan datang, kerana hatinya lekat kepada dunia dan sombong lantaran nikmat dunia. Dia tidak ingat kepada pepatah: 

Ertinya:

"Bukanlah malam itu sentiasa berbuat kebaikan kepaa manusia. Tetapi kebaikan itu kelak akan diikutinya dengan kesusahan".

Kekayaan.

Apakah hakikat kekayaan, dan apa hakikat kemiskinan?

Setelah payah Hukama mencari apakah erti kekayaan yang sebenarnya, mereka mendapat keputusan, iaitu:

"Orang kaya ialah orang yang sedikit keperluannya".

Jadi jangka turun naik kekayaan dan kemiskinan, ialah hajat dan keperluan. Siapa yang paling sedikit keperluannya, itulah orang yang paling kaya dan siapa yang amat banyak keperluan itulah orang yang miskin. Sebab itu yang maha kaya hanya Allah. Sebab Allah tidak berkehendak keperluan atau hajat.

Raja-raja adalah orang yang paling miskin, kerana keperluannya sangat banyak. Di dunia seorang raja diikat oleh bermacam-macam aturan dan keperluan dan di akhirat akan dibuka pula perkaranya yang besar-besar, sebagaimana yang diterangkan oleh Sayidina Abu Bakar yang telah kita salinkan dahulu daripada ini.

Jutawan ramai yang miskin!

Dasar segala yang tersebut itu, pergantungannya ialah diri sendiri. Kalau orang hendak kaya, cukupkanlah apa yang ada, jangan bernafsu hendak memiliki kepunyaan orang lain hadapkan saja muka di dalam taat kepada Allah, tenteramkan jiwa di dalam menghadapi alhayat. Kalau hendak miskin, ingatlah segala yang teringat, kenanglah segala yang belum ada, hendaki ini dan itu hendaki rumah yang lebih cintik, kerana yang sekarang walaupun bagaimana cantiknya, belum juga cukup rasanya, sebab belum secantik rumah si anu, padahal rumah kita sendiri, sudah titik air liur orang lain elihatnya. Kalau dengan harta yang ada dalam tangan, kita ingin kata, dalam sebentar waktu keinginan itu boleh tercapai, iaitu takaran hidup berdiri di atas kesederhanaan, sudah menafkahkan harta pada barang yang berfaedah apalagi di zaman kini yang membanyakkan belanja orang sehari-hari itu bukanlah keperluan yang penting. Yang membesarkan belanja kerapkali barang yang tak perlu, perhiasan yang berlebih-lebihan. Cuba tekankan perasaan jiwa yang berontak, ikat dengan taat kepada Ilahi dan belanjakan membela kebenaran, menegakkan keadilan, menolong fakir dan miskin.

Kekayaan hakiki ialah mencukupkan apa yang ada, sudi menerima walaupun berlipat ganda beratus-ribu bilion, sebab dia nikmat Tuhan. Dan tidak pula kecewa jika jumlahnya berkurang, sebab dia datang dari sana dan akan kembali ke sana. Jika kekayaan melimpah ialah untuk menyokong amal dan ibadat, iman dan untuk membina keteguhan hati menyembah Tuhan. Harta tidak dicintai kerana dia harta. Harta hanya dicintai sebab dia pemberian Tuhan. Dipergunakan kepada yang berfaedah.

Kekayaan majazi, menurut kebiasaan aturan hidup di zaman sekarang ini, ialah menumpahkan cinta kepada harta-benda semata-mata, yang menyebabkan buta dari pertimbangan, sehingga hilang cinta kepada yang lain, kepada bangsa dan tanahair, agama,Tuha, bahkan Tuhan itu tidak dipercayai lagi. Hilang cinta kepada segala yang patut dicintai, bahkan kadang-kadang diri sendiri sudah lupa mencintainya. Sebab telah tertumpah kepada harta. Orang kaya begini, dua bahaya mengancamnya, pertama penyakit bakhil, kedua penyakit boros dan royal (menghamburkan harta), sombong dan takbur, lupa bahawa manusia sentiasa diancam bahaya yang mengerikan.

Dia kaya raya, sebab itu perlu penjagaan, keperluannya kepada penjagaan menyebabkan dia miskin. Dia miskin. Dia kaya raya, perlu berubat kalau sakit. Keperluannya kepada ubat, satu dari tanda kemiskinannya. Dia takut mati, keperuannya menangkis kemiskinannya. Dia takut mati, keperluannya menangkis kematian, adalah tanda dari kemiskinan. Sebab itu, orang kaya yang majazi, ialah orang miskin yang hakiki. Sebaliknya orang miskin majazi adalah kaya yang hakiki.

Apakah perbezaan antara orang banyak harta dengan orang yang hanya berbaju yang lekat di tubuh itu saja?

Orang yang banyak harta dan orang yang tidur di kami lima, adakah berbeza perasaan sakit yang mereka tanggungkan? Adakah berbeza demam yang mereka idapkan? Tidak. Walaupun orang kaya tidur di tilam tebal dan berselimut mahal, dan orang miskin tidur beratapkan langit saja.

Jadi tidaklah tidur di kasur itu dapat mengurangi penyakit.

Kematian boleh datang menyerang seorang kaya yang sedang berada di atas singgahsana keemasan, dijaga oleh dayang-dayang yang ramai, beratus-ratus pengawal yang berdiri di muka pintu. Kematian pun boleh datang kepada seorang peminta-minta sehingga dia tersungkur di tepi jalan. Si kaya dikafani orang dengan kain sutera, si miskin dikafani dengan pakaian yang lekat di badannya. Si kaya dihantar ke kuburan oleh beribu-ribu orang. Si papa dihantarkan oleh kuli kotapraja yang memungut mayatnya. Keduanya sampai ke kuburan, diperhentian besar yang tidak membezakan darjat orang. Setelah sepuluh atau dua puluh hari di belakang, hancurlah kafan sutera sebagaimana hancurnya pakaian yang lekat di badan si papa tadi.

Kalau nyata bahawa harta tak dapat menangkis, menolak demam, tak dapat menghindarkan maut, nyatalah bahawa kesusahan yang menimpa orang kaya, serupa juga dengan yang menimpa orang miskin.

Memang mahal pakaian yang dipakai oleh lorang yang banyak harta tetapi sungguh pun mahal, yang dipakaiya tidak lebih daripada penutup tubuhnya, sebagaiana yang dipakai oleh si papa tadi. Berbagai ragam makanan yang lazat, dimakan orang yang banyak harta, tetapi bila perutnya telah kenyang, dia berhenti. Persis sebagaimana orang miskin yang hanya memakan nasi sebenggol ratak, bila perutnya telah kenyang, berhenti pula. Kadang-kadang kita lihat lebih banyak keringat sipapa keluar dan lebih 'sunguk sangak' dia menaikkan suapnya lantaran enak makannya, daripada yang banyak harta tadi.

Tidak sedikit ditemukan orang kaya yang terus menerus makan enak itu bosan kerana keenakan.

Kerapkali sejarah mengatakan bahawa orang masyhur,yang telah mendapatkan kedudukan mulia, orang popular dan mengagumkan atau ahli-ahli ilmu yang besar, ataupun pengarang-pengarang ternama, ahli syair, ahli seni, timbul dari kalangan orang-orang fakir dan melarat.

Muhammad saw mengubah dunia yang besar itu, ketika dua bulan dalam kandungan ibunya, ayahnya meninggal dunia. Ketika dia berumur enam tahun ibunya meninggal, umur lapan tahun nenek yang mengasuhnya meninggal pula. Pusaka ayahnya hanya lima ekor unta saja. Demikian juga daripada nabi-nabi yang sebelumnya.

Orang-orang besar yang datang kemudian, pun demikian pula.

Abdur Rahman Dakhil (Fatih) yang mendirikan Kerajaan Bani Umaiyah di Sepanyaol, hanya seorang pelarian politik. Salahuddin al Ayyubi pembela Palestin, hanya seorang anak seldadu. Ibnu Saad haya seorang anak raja yang terbuang ke rumah Syeikh Mubarak As Sabah di Kuwait, Reza Shah Pahlavi, Raja Persia dalamusia 30 tahun barulah pandai menulis dan membaca.

Imam Shafie yang terkenal adalah seorang anak yatim yang kuat hati hendak menuntut ilmu. Imam Malik, barulah di hari tuanya mengecap keenakan harta benda, setelah mendapat hadiah banyak dari raja-raja Bani Abbas.

Abul Ula Alma'ry, seorang miskin di negeri Ma'arrah, yang buta sejak dari kecil yang terkenal dengan gelar Abdul Ula (ayah ketinggian) sebab falsafah dan syairnya yang indah. Kurang senang dengan gelaran Abul Ula, dan lebih suka diberi gelar "Rahinul Mahbasain" (seorang yang terkurung dalam dua penjara), penjara kebutaannya dan penjara kemelaratannya.

Orang-orang besar yang demikian sedikit sekali tumbuh dari kalangan orang kaya-raya. Meskipun ahli falsafah mengakui juga bahawa orang-orang yang banyak harta sanggup menambah ilmu pengetauan sampai tinggi. Orang mengakui hal itu, tetapi orang-orang begini hanya dapat mengumpulkan yang telah ditumbuhkan orang lain. Adapun mencipta suatu penemuan yang baru, umumnya tidaklah sanggup.

Sesungguhnya hati yang tenteram dan fikiran yang tenang, memberi bekas yang nyata pada kebahagiaan manusia, bahkan itulah bahagia yang sejati. Orang yang banyak harta, kerapkali menghalangi bahaya, meskipun mereka sedikit sekali mengadukan kesusahan harta kepada orang lain, yang diperolehi oleh orang ramai banyak harta biasa hanya tiga perkara, makanan dan minuman yang enak, rumah yang bagus dan ke mana-mana hendak pergi tidak terhalang. Cubalah masukkan jumlah yang keempat, tentu tak boleh lagi, kerana yang lain itu bukan bahagiannya.

Oleh kerana makan yang tidak bermacam-macam itu boleh juga mengenyangkan perut. Oleh kerana pakaian sepersalinan boleh juga penutup tubuh, dan menangkis udara dingin dan panas, oleh kerana di pondok yang buruk dapat tidur enak, yang tak kurang enaknya dengan tidur di gedung indah. Oleh kerana semuanya itu, nyatalah bahawa bukan pasal makanan, pakaian dan kediaman itu yang jadi asas keberuntungan dan hina, bahagia dan bahaya, ketenteraman dan kesusahan.

Bukan harta sedikit yang menyebabkan susah, bukan harta yang banyak yang menyebabkan gembira. Asas gembira dan susah payah adalah jiwa yang gelisah atau jiwa yang tenang dan damai.

Pengertian Qanaah


Qanaah ialah menerima dengan cukup.

Qanaah itu mengandung lima perkara:
  1. Menerima dengan rela akan apa yang ada.
  2. Memohonkan kepada Tuhan tambahan yang pantas, dan berusaha.
  3. Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan.
  4. Bertawakal kepada Tuhan.
  5. Tidak tertarik oleh tipu daya dunia.

Itulah yang dinamai Qanaah, dan itulah kekayaan yang sebenarnya.

Rasulullah saw bersabda:

"Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak harta,, kekayaan ialah kekayaan jiwa".

Ertinya: Diri yang kenyang dengan apa yang ada, tidak terlalu haloba dan cemburu, bukan orang yang meminta lebih terus terusan. Kerana kalau masih meminta tambah, tandanya masih miskin.

Rasulullah saw bersabda juga:

Ertinya:

"Qanaah itu adalah harta yang tak akan hilang dan pura (simpanan) yang tidak akan lenyap". (HR. Thabarai dari Jabir).

Orang yang mempunyai sifat qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain.

Barangsiapa yang telah beroleh rezeki, dan telah dapat yang akan dimakan sesuap pagi sesuap petang, hendaklah tenangkan hati, jangan merasa ragu dan sepi. Tuan tidak dilarang bekerja mencari penghasilan, tidak disuruh berpangku tangan dan malas lantaran harta telah ada, kerana yang demikian bukan qanaah, yang demikian adalah kemalasan. Bekerjalah, kerana manusia dikirim ke dunia buat bekerja, tetapi tenangkan hati, yakinlah bahawa di dalam pekerjaan itu ada kalah dan menang. Jadi tuan bekerja lantaran memandang harta yang telah ada belum mencukupi, tetapi bekerja lantaran orang hidup tak boleh menganggur.

Hal ini kerap menerbitkan salah sangka dalam kalangan mereka yang tidak faha rahsia agama. Mereka lemparkan kepada agama suatu tuduhan, bahawa agama memundurkan hati bergerak. Agama membawa manusia malas, sebab dia sentiasa mengajak umatnya membenci dunia, terima saja apa yang ada, terima saja takdir, jangan berikhtiar melepaskan diri. Sebab itu, bangsa yang tidak beragama beroleh kekayaan, bangsa yang zuhud terlempar kepada kemiskinan katanya!

Tuduhan demikian terbit lantaran salah perasangka pemeluk agama sendiri. Mereka sangka bahawa yang bernama qanaah ialah menerima saja apa yang ada, sehingga mereka tidak berikhtiar lagi. Mereka namai taqwa orang yang hanya karam dalam mihrab. Mereka katakan soleh orang yang menjunjung serban besar, tetapi tidak memperdulikan gerak geri dunia. Mengatur hidup, mengatur kepandaian, ilmu dunia, semuanya mereka sangka tidak boleh dilarang agama! Sebab kesalahan persangkaan pemeluk agama itu, salah pulalah persangkaan orang yang tidak terdidik dengan agama, bukan kepada pemeluk agama yang salah pasang itu, tetapi salah sangka kepada agama sendiri.

Intisari pelajaran agama ialah menyuruh qanaah itu, qanaah hati, bukan qanaah ikhtiar. Sebab itu terdapatlah dalam masa sahabat-sahabat Rasulullah saw, orang kaya-kaya, berwang, berharta berbilion, beruma sewa, berunta banyak, memperniagakan harta benda keluar negara, dan mereka qanaah juga. Faedah qanaah amat besar di waktu harta itu terbang dengan tiba-tiba.

Sri baginda ratu Belanda Wilhelmina seorang ratu yang masyhur mempunyai pendirian qanaah ini. Puteri Yuliana, disuruh mempelajari segala macam kepandaian yang perlu untuk menjaga hidup sehari-hari, disuruh belajar menjahit, memasak, menyulam dan lain-lain. Ketika ditanyai orang kepada baginda apa maksud yang demiian, baginda menjawab kira-kira demikian.

"Tipu daya dunia tak dapat dipercayai, ini hari kita dipujuknya, besok mana tahu kita diperdayakannya, sebab itu kita tak boleh harap dengan yang ada, dan tak boleh cemas menempuh apa yang akan terjadi".

"Tipu daya dunia tak dapat dipercayai, ini hari kita dipujuknya, besok mana tahu kita diperdayakannya, sebab itu kita tak boleh harap dengan yang ada, dan tak boleh cemas menempu apa yang akan terjadi".

Inilah pendirian yang sepantasnya bagi seorang raja, terutama di zaman demokrasi, kerani nasib tidak dapat ditentukan, berapa banyak raja yang lebih besar dari Ratu Wilhelmina, dan Yuliana terpaksa meninggalkan singgahsananya. Pelajari hidup bersakit, kerana nikmat tidaklah kekal.

Maksud qanaah itu amatlah luasnya. Menyuruh percaya yang betul-betul akan adanya kekuasaan yang melebihi kekuasaan manusia, menyuruh sabar menerima ketentuan Ilahi jika ketentuan itu tidak menyenangkan diri, dan bersyukur jika dipinjamiNya nikmat, sebab entah terbang pula nikmat itu kelak. Dalam hal yang demikian disuruh bekerja, kewajipan belum berakhir. Kita bekerja bukan lantaran meminta tambahan yang telah ada dan tak merasa cukup pada apa yang dalam tangan, tetapi kita bekerja, sebab orang hidup mesti bekerja.

Itulah maksud qanaah.

Nyatalah salah persangkaan orang yang mengatakan qanaah ini melemahkan hati, memalaskan fikiran, mengajak berpangku tangan. Tetapi qanaah adalah modal yang paling teguh untuk menghadapi penghidupan, menimbulkan kesungguhan hidup yang betul-betul (enerti) mencari rezeki. Jangan takut dan gentar, jangan ragu-ragu dan syak, mantapkan fikiran, teguhkan hati, bertawakal kepada Tuhan, mengharapkan pertolonganNya, serta tidak merasa kesal jika ada keinginan yang tidak berhasil, atau yang dicari tidak dapat.

Kenapa kita ragu-ragu, padahal semuanya sudah tertulis lebih dahulu pada azal, menurut jalan sebab dan musabab.

Ada orang yang putus asa dan membuat bermacam-macam 'boleh jadi' terhadap Tuhan. Dan berkata:

"Boleh jadi saya telah ditentukan bernasib buruk, apa guna saya berikhtiar lagi. Boleh jadi saya telah ditentukan masuk neraka, apa guna saya bersembahyang".

Ini namanya syu'uahan, jahat sangka dengan Tuhan, bukan husnus zhan, baik sangka. Lebih baik merdekakan fikiran diri dari syu'uzhan itu. Faham demikian tidak berasal dari pelajaran agama, tetapi dari pelajaran falsafah yang timbul setalah ulama-ulama Islam bertengkar-tengkar tentang takdir, tentang azali, tentang qadha dan qadar.

Tak mungkin Allah akan begitu kejam, menentukan saja seorang mesti masuk neraka, padahal dia mengikut perintah Allah?

Kembali kepada qanaah tadi, maka yang sebaik-baiknya ubat buat menghindarkan segala keraguan dalam hidup, ialah berikhtiar an percaya kepada takdir. Hingga apa pun bahaya yang datang kita tidak syak dan ragu Kita tidak lupa ketika untung, dan tidak cemas ketika rugi. Siapa yang tidak berperasaan qanaah, ertiya dia tak percaya takdir, tak sabar, tak tawakal. Mesti tak dapat dia tak percaya takdir, tak sabar, tak tawakal. Mesti tak dapat tidak, fikirannya kacau, lekas marah,penyusah, dan bilamana tidak, fikirannya kacau, lekas marah, penyusah,dan bilamana beruntung lekas pembangga. Dia lari dari yang ditakutiya, tetapi yang ditakuti itu berdiri di muka pintu, sebagaimana orang yang takut mengingat-ingat, barang yang diingat-ingat, kian dicubanya melupakan teringat itu, kian teguh dia berdiri di ruang matanya.

Ini semuanya tidak terjadi pada orang beriman yang redha menerima apa yang tertentu dalam azal. Meskipun susah atau senang, miskin atau kaya, semua hanya pada pandangan orang luar. Sebab dia sendiri adalah nikmat, dan kekayaan dalam perbendaharaan yang tiada ternilai harganya, 'pada lahirnya azab, pada batinnya rahmat'. Jika ditimpa susah, dia senang sebab dapat mengingat kelemahan dirinya dan kekuatan Tuhannya, jika dihujani rahmat, dia senang pula, sebab dapat bersyukur.

Qanaah, adalah tiang kekayaan yang sejati. Gelisah adalah kemiskinan yang sebenarnya. Tidak dapatlah disamakan lurah dengan bukit, tenang dengan gelisah, kesusahan dan kesukaan, kemenangan dan kekalahan, putus asa dan cita-cita. Tak dapat disamakan orang yang sukses dengan orang yang muflis.

Keadaan-keadaan yang terpuji itu terletak pada qanaah, dan semua yang tercela ini terletak pada gelisah.